FTC World Championship saksi kehebatan Pasirian Rex

Admin
bel 5753 Sarisan Anjang (duia dari kiri) bersama-sama Arash Badlishah Huzainol Hisham (tiga dari kiri) bersama-sama rakan sepasukan, Kasih Damia Maira Mahadzir (kanan sekali), Kasih Dania Aydina Mahadzir (dua dari kanan), Ainur Amylia Md. Isa (kiri sekali) dan Muhammad Akmal Farish Effendy (tiga dari kanan).

SELEPAS berjaya merangkul pingat emas dalam cabaran First Tech Challenge (FTC) Malaysia bagi musim 2023/2024 pada 17 hingga 18 Januari lalu, kini pasukan Pasirian Rex membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa pula.

Pada 13 April 2024, lima daripada lapan anggota pasukan Kelab Robotik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir terbang ke Amerika Syarikat bagi meneruskan lagi cabaran di FTC World Championship yang berlangsung di Houton, Texas.

Mereka ialah ketua pasukan, ARASH BADLISHAH HUZAINOL HISHAM berserta ahli-ahli pasukannya, KASIH DAMIA MAIRA MAHADZIR, KASIH DANIA AYDINA MAHADZIR, AINUR AMYLIA MD. ISA dan MUHAMMAD AKMAL FARISH EFFENDY yang ditemani oleh guru merangkap pembimbing pasukan, SARISAH ANJANG serta sukarelawan yang juga mentor dari Jabil Circuit Sdn. Bhd. (Jabil), S. Thavan.

Baru-baru ini, pasukan Pasirian Rex turut mendapat tajaan daripada Jabil berjumlah RM50,000 bagi menampung sebahagian daripada perbelanjaan perjalanan mereka untuk ke pertandingan tersebut.

bel 5639
Pengetua SMK Permatang Pasir, Roslina Hasim antara yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan Pasirian Rex.

Aktif sertai pertandingan Ketika ditemui Buletin Mutiara, Sarisah memaklumkan bahawa walaupun aktif menyertai pelbagai pertandingan berkaitan robotik sejak tahun 2021, namun ini merupakan kali pertama pasukan Pasirian Rex layak ke FTC World Championship.

“Apa yang membanggakan adalah sekolah pinggir bandar seperti SMK Permatang Pasir yang mana para pelajar kebanyakan terdiri daripada golongan pertengahan dan berpendapatan rendah layak bersaing dalam pertandingan robotik pada peringkat dunia.

“Sebenarnya, kami tidak terlalu fokus kepada FTC World Championship, sebaliknya saya menggalakkan mereka menyertai pelbagai pertandingan robotik bagi meningkatkan minat dan mendapatkan pengalaman.

“Melalui penglibatan itulah mereka mendapat banyak pengalaman termasuk untuk membina program (coding) di samping memperkemaskan lagi reka bentuk dan fungsi robot yang dibangunkan.

“Untuk ke pertandingan kali ini, mereka perlu melakukan latihan dan menyiapkan robot pada hujung minggu dari 10 pagi hingga 5 petang termasuk membuat penyelidikan, pengekodan dan kerja-kerja berpasukan yang lain,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS ketika ditemui dekat SMK Permatang Pasir pada 3 April lalu.

1
Sarisah Anjang.

Bercerita mengenai awal penglibatan Kelab Robotik SMK Permatang Pasir dalam FTC, Sarisah memaklumkan bahawa penyertaan mereka pada mulanya adalah sekadar untuk mencuba dan hanya mendapat tempat ke lapan daripada 11 pasukan yang bertanding.

“Apabila masuk musim kedua (FTC), saya meletakkan sasaran lebih tinggi untuk mendorong mereka melaksanakan idea lebih baik melibatkan reka bentuk, membina dan memprogram robot serta mencipta penyelesaian yang lebih kreatif dan inovatif.

“Menghasilkan sebuah robot sebenarnya agak rumit dan memerlukan kita berfikir dan menaakul keranasetiap fungsi komponennya adalah berkaitan yang mana adakalanya kami mengambil masa sehingga satu atau dua bulan untuk menyiapkan satu robot.

“Sebab itulah, pada awalnya mereka agak keberatan untuk menyertai FTC World Championship kerana memikirkan tekanan yang bakal dihadapi, tetapi sebagai guru yang bertanggungjawab, saya menasihati mereka untuk mengambil peluang ini.

“Isunya bukan kami hendak ke Texas semata-mata tetapi lebih penting adalah pengalaman yang bakal kami peroleh di sana selain ia akan menjadi kenangan terindah buat pelajar-pelajar dan saya sendiri apabila sudah bersara nanti,” katanya.

3
Rupa bentuk robot yang dibawa ke FTC World Championship.
2
(Dari kiri) Ainur Amylia Md. Isa, Muhammad Akmal Farish Effendy, Arash Badlishah Huzainol Hisham, Kasih Dania Aydina Mahadzir dan Kasih Damia Maira Mahadzir.
6
Arash Badklishah menunjukkan demonstrasi fungsi robotik yang telah diprogramkan.
4
Bersama-sama guru dan rakan sepasukan ketika memenangi salah satu pertandingan yang disertai.

Justeru, Sarisah mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabil dan Penang Science Cluster (PSC) kerana memberi peluang kepada pelajar SMK Permatang Pasir dengan menyediakan dana dan bantuan peralatan robotik.

Sementara itu, Arash Badlishah menjelaskan bahawa penglibatannya dalam pertandingan robotik adalah sejak di Tingkatan 2 lagi.

“Selain FTC, saya juga ada menyertai pertandingan robotik yang lain seperti pertandingan Petrosains, Karnival STEM, pertandingan lego dan sebagainya,” ujarnya.

Menurutnya, beliau pernah berasa berputus ada sehingga membuat keputusan untuk menarik diri daripada kejuaraan FTC, namun membatalkan hasrat tersebut atas nasihat guru pembimbingnya.

“Saya merasakan bahawa robotikmemberikan tekanan kepada saya, dan waktu itu boleh dikatakan saya hampir berputus asa.

“Namun, dengan motivasi yang diberikan oleh Cikgu Sarisah, pandangan saya terhadap robotik mula berubah daripada sesuatu yang serius dan sukar kepada aktiviti yang menyeronokkan dan dapat mencungkil lagi bakat yang ada pada diri saya.

“Ini kerana pertandingan robotik memerlukan kita untuk berfikir secara kritis,” katanya yang  di Tingkatan 5.

Arash Badlishah menyatakan bahawa ketika menyertai FTC Malaysia pada peringkat Negeri Pulau Pinang, beliau pada awalnya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi sehingga ke kejohanan dunia.

“Saya sasarkan dapat masuk peringkat akhir atau paling kurang separuh akhir tetapi syukur rezeki menyebelahi kami, dan kami dijemput untuk bertanding dalam FTC World Championship.

“Pada mulanya saya rasa agak sukar, tetapi dengan semangat dan sokongan yang diberikan oleh guru-guru serta ibu bapa, saya membuat keputusan untuk menyertai pertandingan di Texas,” jelasnya.

Ditanya mengenai bagaimana beliau menyeimbangkan antara minat terhadap robotik dan akademik, Arash Badlishah memberitahu bahawa pembahagian masa serta disiplin adalah amat penting.

“Semasa sesi pembelajaran di dalam kelas, saya memang akan memberikan tumpuan  sepenuhnya kepada guru-guru yang mengajar dan paling penting saya perlu bijak mengatur masa,” katanya menutup bicara.