Gabungan Kerajaan Perpaduan bawa kestabilan politik

8e9fa441 66e8 4bc1 8118 c7fa851d5b28

BATU UBAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan kehadiran beliau ke Majlis Rumah Terbuka  Deepavali anjuran Malaysian Indian Congress (MIC) Pulau Pinang sebagai satu sejarah baru selepas 36 tahun berkecimpung dalam arena politik.

Beliau berkata, apa yang berlaku kini adalah hasil perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun 2023.

“Perubahan landskap politik ini telah membuka peluang percaturan semula parti-parti politik di Malaydia demi membawa kestabilan kepada politik negara.

“Ini membolehkan Kerajaan Perpaduan dapat memerintah serta melaksanakan tanggungjawab dengan baik untuk menstabilkan suasana politik sekali gus membawa agenda pembangunan sosioekonomi serta menaikkan taraf kehidupan rakyat jelata.

2885d6db d0b4 45da b2a8 e502531f96e4

“Setelah dua tahun berlangsungnya kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta parti-parti lain, kini kita dapat saksikan bahawa Malaysia telah melalui satu proses kemantapan, kestabilan dan berjaya mendapat sokongan rakyat,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MIC Pulau Pinang dekat Tapak Pesta Sungai Nibong sebentar tadi.

Hadir sama, Mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; barisan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang; Pengerusi BN Pulau Pinang; Datuk Musa Sheikh Fadzir; Presiden MIC Malaysia, Tan Sri Dr. S.A Vigneswaran dan barisan kepimpinan parti komponen BN yang lain.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berharap agar kerjasama PH-BN  dapat diperkukuhkan lagi pada masa hadapan.

“Saya percaya masa depan lebih cerah sekiranya kita dapat menjalin kerjasama erat atas nama perpaduan dalam memastikan Kerajaan Pusat dan negeri dapat diperkukuhkan lagi.

“Barisan kepimpinan telah menunjukkan sifat perpaduan, kerjasama dan toleransi dalam memastikan gabungan Kerajaan Perpaduan tidak akan terjejas walaupun masih ada perbezaan pendapat.

“Kita masih banyak kerja untuk dilakukan di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan memastikan projek-projek infrastruktur yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan dalam penggal ini juga,” katanya.