APABILA berkunjung ke kafe Santapan Warisan yang terletak di Tanjung City Marina, pengunjung pastinya terlirik mata memandang rekaan persalinan tradisional hasil tangan yang terdapat di Butik Shasha’s Empire di sini.
Usaha dipelopori oleh usahawanita, NOOR AZLINA MOHAMED NOOR, 39, yang juga pengasas Shasha’s Empire (M) Sdn. Bhd. dan berpengalaman selama 19 tahun dalam bidang keusahawanan.
Susulan itu, Noor Azlina berkesempatan berkongsi sedikit sebanyak latar belakang perniagaannya dalam satu sesi wawancara khas bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar, SITI NURATIKAH RAHMAT pada 30 Oktober lalu.
Cebur diri
Perjalanan Noor Azlina bermula apabila beliau berhijrah dari Kelantan ke Pulau Pinang demi mengubah nasib keluarga.
“Bermodalkan RM50 untuk membayar tambang bas, saya berhijrah ke Pulau Pinang untuk memulakan perniagaan.
“Pada awalnya saya berasa agak janggal berada di negeri orang dan mengambil masa untuk menyesuaikan diri, namun dek semangat dalam diri untuk mencari rezeki saya teruskan jua.
“Saya mula membuka kiosk pakaian ‘ready to wear‘ di pusat beli-belah Queensbay Mall yang memfokuskan rekaan batik Malaysia, kebaya Nyonya, songket Melayu, batik kerawang dan sulaman tangan antara rangkaian persalinan yang ada di sini.
“Uniknya di sini, pengunjung bukan sahaja boleh menyewa malah juga menempah pakaian untuk acara tertentu mahupun istiadat.
“(Dan) ada juga rekaan di sini yang menggabungkan elemen tradisional dengan reka bentuk moden.
“Syukur Alhamdulilah sehingga kini, saya telah berjaya membuka empat cawangan Shasha’s Empire yang menawarkan perkhidmatan upah dan sewa bermula dengan kadar RM199 di sekitar Pulau Pinang,” ujarnya yang mampu menyiapkan tempahan satu ke tiga hari bekerja.
Kafe
Mengulas lanjut, sebelum mengorak langkah membuka kafe, Noor Azlina juga turut membantu ibu tunggal berniaga produk mereka sendiri.
“Saya turut memasuki pasaran Aeon bagi menjual produk biskut raya, hamper, kolagen serta suplemen produk kesihatan.
“Usaha ini adalah bagi membantu ibu tunggal yang tidak bekerja, dengan ini sedikit sebanyak mereka mempunyai pendapatan secara bulanan bagi menampung perbelanjaan seharian,” jelasnya lanjut.
Bercerita lanjut mengenai kafe Santapan Warisan, Noor Azlina mencabar diri dengan memulakan perniagaan penyediaan makanan dan minuman (F&B) serta butik.
“Istimewanya di sini pengunjung boleh membuat pesanan rendang ayam, rendang daging, nasi kerabu, sup warisan gearbox, sup tulang, keropok lekor warisan yang dijamin sedap hasil air tangan chef ‘diimport‘ dari Pantai Timur.
“Manakala bagi pengunjung yang ingin menyegarkan tekak di kala kepanasan, di sini terdapat cendol, laicikang dan ‘coconut shake‘ yang lazat bagi menghilangkan dahaga.
“Seusai menjamu selera, pengunjung boleh pula mencuci mata melihat persalinan tradisional hasil tangan Noor Azlina yang terdapat di butik dalam kafe.
Cabaran
Berkongsi mengenai cabaran, Noor Azlina menganggap pandemik COVID-19 bakal mengakhiri perniagaannya, namun dengan usaha dan kecekalannya, beliau masih teguh berdiri.
“Saya tahu bukan senang nak menjadi senang, berkat kesabaran dan keikhlasan yang dicurahkan ini, saya senyum sahaja menghadapi ujian kehidupan.
“Ada jatuh bangun saya, akan tetapi sokongan tulang belakang yang kuat saya mampu berdiri secekal ini.
“Walau apa pun, saya hanya ingin menunjukkan hasil yang terbaik, dan Alhamdulilah antara pencapaian terhebat saya adalah berjaya memperoleh anugerah Wanita Hebat Pulau Pinang 2021 Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).
“Pencapaian tersebut telah mengajar saya untuk lebih berusaha dan tidak boleh menganggap cukup setakat di sini, oleh itu saya akan berusaha lebih keras untuk mengembangkan lagi kafe Santapan Warisan dan Butik Shasha’s Empire pada masa hadapan,” ulasnya menutup bicara.