Gabungan PH – BN, tenaga kekuatan lebih kuat untuk menang PRN 12 Ogos ini

Admin

TELUK BAHANG – Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa kosep kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan adalah tidak asing di Malaysia.

 

 

Malah, menurut beliau, kerjasama politik sebegitu telah wujud sejak sebelum merdeka menerusi Parti Perikatan (Kapal Layar) mengikut komposisi kaum di negara ini.

 

 

“Jadi sekarang ada gabungan yang baru di bawah payung Perpaduan kerana pada PRU (Pilihan Raya Umum) lepas, tidak ada gabungan yang menang cukup kerusi, oleh kerana kemelut itu, maka Tuanku (Yang Dipertuan Agong) memanggil semua parti untuk berunding bagi stabilkan politik negara.

 

 

“Maka selepas itu wujudlah kerjasama baru PH – BN, itu pun bukan satu keputusan yang mudah kerana dalam parti juga ada pendapat sendiri, namun bersyukur kerana akhirnya Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk.

 

 

“Sekarang sudah sampai ke peringkat negeri pula, negeri-negeri yang ada Pilihan Raya Negeri (PRN), oleh kerana apa yang berlaku di Pusat, keputusan pun turun ke bawah dan bentuk gabungan baru di negeri, kita jenamakan sebagai calon Perpaduan untuk gabungkan tenaga kekuatan supaya jadi lebih kuat untuk menang pada PRN 12 Ogos ini,” ujarnya ketika diitemui pada sesi Taaruf Bersama-sama BN Sungai Korok, Balik Pulau di sini pagi tadi.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Johor, Liew Chin Tong; calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang dari parti BN, Ahmad Zaki Shah Shah Headan; Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah dan pimpinan jentera BN setempat.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa PRN ini merupakan peluang terbaik kepada BN untuk kembali menganggotai Kerajaan Negeri setelah tiga penggal parti tersebut menjadi pembangkang di DUN Pulau Pinang.

 

 

“Kita perlukan bilangan kerusi yang cukup, jadi kami (PH) rasakan BN dengan PH adalah satu permulaan, perjalanan masih jauh lagi untuk memperkukuhkan persefahaman tetapi untuk menghadapi PRN proses ini tidak boleh dilambatkan.

 

 

“Saya mahu BN menang juga supaya boleh jadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri, sudah lama BN luar daripada Kerajaan Negeri, inilah peluang terbaik dengan kekuatan masing-masing maka kita mampu capai kemenangan.

 

 

“Kenapa kita mahu menang?  Selain membentuk kerajaan, kita mahu bangunkan Pulau Pinang dan memastikan rakyat semua kaum dapat menikmati hasil pembangunan Pulau Pinang,” tegasnya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang.

 

 

Dalam sidang media bersingan, Kon Yeow menyeru kepada seluruh jentera PRN Perpaduan untuk melipatgandakan usaha berkempen dalam tempoh lima hari ini.

 

 

“Saya harap kita mampu capai sasaran (30 hingga 32 kerusi DUN), kita akan fokus kepada kawasan-kawasan yang boleh mencapai sasaran ini.

 

 

“Sokongan melebihi sasaran itu pun boleh berlaku sekiranya dalam lima hari ini dapat yakinkan rakyat mengapa ada satu bentuk kerjasama Perpaduan untuk capai kemenangan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

 

Sementara itu, Ahmad Zaki turut bersetuju bahawa Perpaduan mampu bawa pembangunan di kawasan DUN Teluk Bahang khususnya kepada orang muda.

 

 

“Sekiranya kita selari antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, saya percaya kemudahan, rumah mampu milik dan pembangunan-pembangunan lain lebih mudah dilaksanakan di sini.

 

 

“Melalui manifesto yang dilancarkan baru-baru ini juga, kami menyambut baik dan yakin akan diterima oleh golongan-golongan muda di kawasan ini,” katanya.

 

 

 

 

Kempen dimulakan dengan sesi ramah mesra bersama-sama penduduk setempat di Warung Pak Kob Sungai Korok, lawatan ke rumah penduduk setempat dan mengakhiri sesi lawatan khas di Eryna Cafe, Kuala Sungai Pinang.

 

 

Terdahulu, Kon Yeow dan jentera Perpaduan mengadakan pengadakan program ziarah kasih ke Kampung Permatang Pasir untuk melawat beberapa keluarga yang memerlukan selain mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat.