MUNGKIN ramai yang belum pernah mendengar mengenai buah gac atau nama saintifiknya Momordica cochinchinensis memandangkan penanaman buah berkaitan masih lagi kurang meluas di Malaysia.
Namun, tahukah kita bahawa buah gac juga dikenali sebagai ‘buah dari syurga’ kerana sifatnya yang dikatakan mampu memanjangkan usia, memberi semangat dan daya tahan kepada manusia.
Di negeri Pulau Pinang, buah eksotik berwarna merah menyala ini sudah mula diusahakan oleh beberapa pekebun dan dikomersialkan sebagai minuman kesihatan secara kecil-kecilan.
TAN TECK SOON, 50, antara pekebun kecil yang mula mengusahakan tanaman buah gac di atas tanah seluas lima ekar berhampiran Flower Fruit Hill dekat Berapit, Bukit Mertajam sejak tahun 2020.
Keistimewaan buah gac
Menurut Teck Soon, beliau memilih untuk menjalankan perusahaan penanaman gac selepas mengetahui mengenai kepelbagaian khasiat yang terdapat pada buah tersebut dikatakan sangat baik untuk kesihatan manusia.
“Seorang kawan saya dari Taiwan memperkenalkan kepada saya buah ini, jadi saya cuba menanam secara kecil-kecilan terlebih dahulu untuk melihat kesesuaianya dengan cuaca di negeri kita.
“Selepas beberapa bulan, tanaman ini tumbuh dengan subur dan barulah saya membuat keputusan untuk menanam buah gac dalam skala lebih besar bagi tujuan komersial,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai keistimewaan buah gac, Teck Soon menyatakan bahawa buah tidak bermusim tersebut sebenarnya kaya dengan pelbagai khasiat perubatan dan tinggi dengan vitamin A, C serta E.
“Ini kerana kandungan buah ini tinggi dengan beta karotina, lutein, zeaxanthin dan lycopene selain bersifat anti oksidan yang dipercayai dapat menyembuhkan beberapa penyakit tertentu.
“Dikatakan pengambilan buah ini secara berkala dapat meningkatkan kesihatan mata, mengurangkan risiko penyakit barah dan penyakit jantung, membantu melancarkan pencernaan serta meningkatkan imun badan terhadap jangkitan.
“Sebab itulah buah gac banyak ditanam untuk tujuan pengkomersilan dalam bidang perubatan dan pemakanan terutamanya di Vietnam, Myamar dan Thailand,” jelasnya lanjut.
Dari pemerhatian, bentuk buah gac adalah agak membulat atau sedikit lonjong, berwarna hijau ketika muda dan bertukar kekuningan apabila hampir matang dan seterusnya berwarna merah menyala.
Difahamkan, pokok yang tumbuh menjalar ini mengambil masa kira-kira lapan hingga sembilan bulan untuk menghasilkan buahnya.
Minuman kesihatan
Teck Soon memberitahu bahawa selain dijual dalam bentuk buah-buahan segar, buah gac yang sudah masak akan dipetik setiap hari untuk diproses menjadi minuman kesihatan.
“Buah gac yang sudah dipetik akan dipotong untuk membuang biji terlebih dahulu, kemudian kami ambil isinya sahaja untuk menghasilkan jus dan akan dimasak kira-kira lima hingga enam jam.
“Disebabkan rasa buah gac yang hambar dan sedikit pahit, kami perlu menambah sedikit gula semasa proses memasak untuk disesuaikan dengan cita rasa rakyat Malaysia.
“Selain perisa asli, kami juga menghasilkan tiga lagi perisa iaitu nanas, markisa serta asam boi dan dijual dengan harga antara RM10 hingga RM38 sebotol mengikut jenis perisa.
“Setakat ini kami hanya mampu hasilkan kira-kira 100 botol jus buah gac sehari,” ujarnya sambil menambah bahawa biji buah gac sebaiknya tidak dimakan kerana boleh menyebabkan masalah pencernaan.
Tambah Teck Soon, pada masa ini jus buah gac hanya dipasarkan secara kecil-kecilan di sekitar negeri Pulau Pinang dan beberapa negeri di Semenanjung.
“Sebenarnya ada juga permintaan dari Sabah dan Sarawak, tetapi buat masa ini kita tidak dapat hantar ke sana kerana ia memerlukan masa yang agak panjang dan keadaan ini dikhuatiri menyebabkan produk kita menjadi rosak.
“Kami juga terfikir untuk memasarkan jus ini di beberapa pasar raya terpilih tetapi belum dapat dilaksanakan kerana perlu melalui beberapa lagi proses terutamanya dalam mendapatkan sijil halal bagi meluaskan lagi pasaran,” katanya.
Rancangan masa depan
Ditanya mengenai rancangan masa depan, Teck Soon menyatakan bahawa beliau kini sedang mengusahakan sebuah lagi ladang buah gac di tapak baru seluas 20,000 kaki persegi dekat Bukit Noning di Berapit.
“Apabila proses penananan siap kelak, kebun di sini (Flower Fruit Hill) akan ditutup dan kami akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kebun baharu tersebut.
“Bukan semata-mata untuk menanam buah gac, malah kami juga merancang untuk menjadikan kebun kami sebagai kawasan agropelancongan.
“Bagi tujuan itu, pada masa ini kami sudah membina rumah hijau dan akan membina kilang untuk memproses jus buah gac dalam kuantiti yang lebih banyak,” katanya yang kini dibantu oleh lapan pekerja.
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan jus buah atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 011 – 1327 1172 (Tan Teck Soon) / 017 – 655 3693 (Annie).