Gagal bayar tunggakan cukai, berapa banyak rampasan tanah dibuat setakat ini, tanya ADUN

img 3827 LEE Khai Loon

GEORGE TOWN – Berapa banyakkah langkah rampasan tanah dibuat setakat ini kerana kegagalan tuan tanah melangsaikan tunggakan cukai tanah kepada Kerajaan Negeri, tanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

“Bagi mereka yang tidak membayar cukai tanah, Pejabat Tanah dan Daerah atau PTD sebenarnya boleh menggunakan Seksyen 100 Kanun Tanah Negara Notis 8A untuk rampas balik tanah tersebut.

“Jadi, saya juga ingin tahu bahawa berapa tanah yang telah dirampas oleh Pejabat Tanah selama ini, atau ada apa-apa Tindakan telah diambil oleh Kerajaan atau PTG (Pejabat Tanah dan Galian) atau PTD untuk rampas balik tanah-tanah tersebut.

“Sebab apa saya bercakap sebegini adalah kerana jika mereka menerima notis untuk merampas balik tanah, cepat-cepat mereka pergi membayar tunggakan (cukai tanah),” jelasnya semasa ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik membahaskan Belanjawan 2025 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 25 November 2024.

Terdahulu, pada 22 November lepas, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi membentangkan Belanjawan 2025 Pulau Pinang dengan tema ‘Ekonomi Madani, Rakyat Diperkasa, Negeri Sejahtera’.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota antara lain berkata bahawa setiap tahun sekitar 40 hingga 50 peratus hasil negeri diperoleh melalui kutipan cukai, bayaran premium pemberimilikan dan fi urus niaga.

Beliau turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri hari ini turut melaksanakan semakan cukai tanah yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, dengan melibatkan 370,000 hak milik tanah di Pulau Pinang.

4225dc0d 061d 40c0 ad15 88c402441286
GOH Choon Aik

Pada tengah hari ini, Choon Aik dalam ucapan perbahasannya di DUN Pulau Pinang menyatakan bahawa sepatutnya Kerajaan Negeri tidak lagi berlagak sebagai ‘hero rakyat’ dengan tidak melakukan semakan cukai tanah, yang mana kali terakhir dibuat pada tahun 1994.

Tambah beliau, langkah lebih tegas kepada mereka yang gagal melunaskan tunggakan cukai tanah perlu dilaksanakan, memandangkan Kerajaan Negeri hari ini sedang berusaha memperbaiki kedudukan kewangan kerajaan, hatta terpaksa melaksanakan perbelanjaan defisit paling kecil dalam sejarah negeri.

“Bukit Tambun telah mencadangkan semakan cukai tanah sejah tahun 2021, saya tidak pernah berganjak dalam isu (semakan) cukai tanah ini.

“Jadi, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada (ADUN) Padang Kota mengenai 370,000 (hak milik tanah) itu berdasarkan data pada tahun 1994 atau data sekarang,” tanya beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Choon Aik turut menjelaskan bahawa mengikut Laporan Ketua Audit Negara Negeri Pulau Pinang Bil. 3 2024, daripada 94.65 akaun belum terima bagi tahun 2023, 76.8 peratus atau RM72.66 juta adalah tunggakan cukai tanah.

Mengikut Daerah, beliau memberitahu bahawa Seberang Perai Tengah (SPT) merekodkan jumlah tunggakan cukai tanah tertinggi iaitu RM23.7 juta, diikuti Timur Laut (RM20.06 juta).

Tegas beliau, Seksyen 100 Kanun Tanah Negara menjelaskan bahawa jika selepas tamat tempoh tiga bulan bayaran yang dituntut tidak juga dijelaskan, Pentadbir Tanah Daerah hendaklah membuat satu perintah bagi mengistiharkan tanah itu dilucuthak dan menjadi milik Pihak Berkuasa Negeri.

Sebagai rekod, Kerajaan Pulau Pinang menganggarkan perbelanjaan sebanyak RM1.047 bilion bagi Belanjawan 2025 yang merangkumi RM940,223,689 perbelanjaan mengurus negeri, dengan RM33.63 juta anggaran kurangan kewangan merupakan defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Negeri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT