Gagal tuntut kenderaan – bakal dilelong

Oleh : ZULIANA AZIZ

SEBERANG PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) buat pertama kalinya akan mengadakan lelongan kenderaan pada 3 Januari 2012 mulai jam 9 pagi di Depo Rampasan Permatang Tengah, Butterworth, Seberang Perai Utara (SPU) di sini.

Kenderaan yang bakal dilelong adalah hasil daripada rampasan yang dilakukan sejak lima hingga sepuluh tahun lalu yang mana pemiliknya gagal mematuhi kehendak notis yang telah dikeluarkan oleh MPSP.

Sebanyak 48 buah kenderaan yang terdiri daripada sebuah motosikal, 30 buah kereta, tiga buah lori kecil, sebuah acuan empat roda, sebuah badan treler, lima buah lori, enam buah van dan sebuah lori bonded bakal dilelong. Namun, semua kenderaan tersebut akan dipamerkan untuk pemeriksaan awam terlebih dahulu mulai 28 hingga 20 Disember 2011 bermula jam 9 pagi di depo yang sama.

Menurut jurucakap MPSP, Soon Lip Chee, pihaknya telah menyemak semua kenderaan yang dirampas dan telah
menyerahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan selanjutnya. Pemilik juga telah diberi surat untuk menuntut kembali kenderaan yang dirampas, namun, mereka gagal melakukan demikian dan membolehkan kenderaan mereka dilelong oleh pihak MPSP setelah mendapat kebenaran daripada JPJ dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tambah beliau lagi, banyak aduan yang diterima berkaitan kenderaan yang sudah lama tidak bergerak dan rosak atau tiada cukai jalan masih terbiar di kawasan taman perumahan.

Bagi mengelakkan pemberian notis atau rampasan dilakukan, MPSP menyeru agar mereka yang berkenaan mengalih kenderaan tersebut ke lokasi lain kerana dianggap mengganggu lalulintas di taman perumahan terlibat.

SEBAHAGIAN kenderaan yang telah dirampas dan bakal dilelong di Depo Rampasan Permatang Tengah.
SEBAHAGIAN kenderaan yang telah dirampas dan bakal dilelong di Depo Rampasan Permatang Tengah.