Galakan berterusan terhadap aktiviti belia dan sukan – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi galakan dan sokongan terhadap apa jua jenis aktiviti berkaitan dengan belia dan sukan di Pulau Pinang.

 

 

Menurut beliau, kedua-dua sektor berkaitan mampu menyumbang ke arah peningkatan kualiti kesihatan fizikal dan mental, perpaduan serta kesejahteraan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

 

 

“Pendekatan ini adalah di samping melestarikan pembangunan sukan berprestij tinggi dan pada masa sama memperkasakan peranan serta bakat modal insan menerusi pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) khasnya.

 

 

“Malah, sejak dahulu hingga kini, kewujudan sesebuah badan bukan kerajaan (NGO) sudah tentunya bertujuan mengisi kelompangan yang diperlukan dalam masyarakat lokal, ataupun untuk menggerakkan sesuatu usaha penambahbaikan peringkat komuniti setempat.

 

 

“Sesungguhnya, kekuatan dan idea di sebalik penubuhan sesebuah NGO adalah sangat penting bagi memenuhi keperluan sosial rakyat secara keseluruhannya, di samping bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menjayakan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ujarnya pada Majlis Perasmian Stay Fit Sunnah Sports Club (SFSSC) dan Rumah Terbuka Aidilfitri di sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengasas dan Pengerusi SFSSC, Ahmed Faisal Mohd. Lazim dan Timbalan Pengerusi SFSSC, Mohamed Basir Haja Mydin.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memberitahu bahawa sebagaimana diketahui umum, SFSSC yang mula beroperasi sejak tahun 2015 telah bergiat sangat aktif dalam pelbagai acara sukan di negeri ini.

 

 

“Antara aktiviti yang pernah dianjurkan adalah seperti ‘indoor cycling’, mendaki bukit, ceremah kecergasan dan program motivasi sukan.

 

 

“Selain itu, antara program yang akan dianjurkan dalam tahun ini adalah  Merdeka Perpaduan Relay pada Ogos 2023 dan Project Possible Kinabalu yang mana 17 ahli yang merupakan anak Pulau Pinang dari kawasan Tanjong akan cuba menakluki gunung tertinggi Asia Tenggara (pada September 2023), selamat berjaya saya ucapkan!

 

 

“Berteraskan dengan moto ‘Jangan Putus Asa’, sesungguhnya, penglibatan dan penyertaan SFSSC secara aktif ini adalah amat disambut baik Kerajaan Negeri, dan kita berharap usaha berterusan dapat dipergiatkan lagi dari semasa ke semasa demi memupuk minat komuniti ke arah gaya hidup yang lebih sihat,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan itu lanjut.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD