Galeri Guar Kepah beri nilai tambah melalui arkeopelancongan

51017eef 600d 4af8 96c8 03ec09f65204

BATU UBAN – Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan penuh kepada usaha pemuliharaan dan pengekalan tapak-tapak warisan arkeologi yang menjadi bukti ketamadunan awal sesebuah kawasan dan negara.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan untuk mengangkat Tapak Arkeologi Guar Kepah sebagai Tapak Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

“Tapak Arkeologi Guar Kepah merupakan tapak Bukit Cangkerang Kepah yang telah mendedahkan bukti kewujudan masyarakat Neolitik di Pulau Pinang berusia 5,000 tahun dahulu.

“Ia adalah tapak arkeologi pertama di Malaysia yang telah dikaji oleh pengkaji barat sejak tahun 1863 hingga tahun 1936, dan menemukan rangka manusia, alat batu, sisa makanan, manik dan serpihan tembikar.

“Kesemua bahan arkeologi ini, termasuk 41 rangka manusia telah dihantar ke luar negara dan disimpan di Collection Centre Netherlands (CCNL), Amersfoot, Belanda,” ujar Hon Wai pada Forum Warisan Pulau Pinang 2024 dekat Kompleks Cahaya Siswa Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pagi tadi.

8308e869 9984 4aaa bf0e 7b3228c8fedf

Hadir sama, Pengurusan Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), Datin S. Bharathi; Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad;Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Prof. Dr. Habibah A. Wahab dan Pegawai Perancang Bandar dan Desa Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Rozaini Hassan.

Mengulas lanjut, Hon Wai berharap agar dengan kembalinya rangka-rangka yang dijumpai ke tapak asal di Galeri Tapak Arkeologi Guar Kepah bakal menjadi salah satu produk arkeopelancongan dan membuka ruang penyelidikan lanjut ke atas rangka dan tapak prasejarah.

“Pembukaan galeri ini sudah tentu akan menaikkan lagi nilai sejarah warisan dan arkeopelancongan Pulau Pinang dan dijangka menarik minat para pelancong untuk mendalami dengan lebih dekat nilai sejarah dan arkeologi warisan negara,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

,Gambar : DARWINA MOHD. DAUD