PINANG TUNGGAL – Kerja-kerja pembinaan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah dekat Seberang Perai Utara (SPU) telah mencapai kemajuan 98 peratus dan dijangka dapat dibuka kepada umum pada akhir tahun ini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata galeri warisan tersebut bukan sahaja penting untuk sektor pelancongan negeri tetapi turut menjadi tarikan utama bagi laluan pelancongan yang baru di kawasan Utara Semenanjung tanah air.
“Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) mewakili Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Warisan Negara (MOTAC) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) sedang dalam usaha membawa pulang 41 rangka manusia Guar Kepah yang kini tersimpan di Collection Centre Netherlands (CCNL).
“Pihak Kerajaan Belanda melalui Kementerian Pendidikan, Budaya dan Sains Belanda telah bersetuju untuk memulangkan rangka-rangka tersebut kepada Kerajaan Malaysia dengan mengambil kira kepentingan objek warisan kepada Malaysia khususnya Pulau Pinang.
“Pusat ini dijangka siap pada akhir suku kedua dan dibuka kepada umum pada akhir tahun 2024,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan galeri warisan berkaitan dekat sini pagi tadi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan; Pakar Arkeologi, Prof. Dato’ Dr. Mokhtar Saidin; Pengarah Centre for Global Archaeological Research, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Stemphen Chia; Pengurus Besar CMI, Datin S. Bharathi dan Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng.
Hon Wai berkata, pembinaan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah adalah bertujuan untuk mempamerkan kesemua artifak dan rangka Guar Kepah serta memartabatkan warisan sejarah negeri Pulau Pinang.
“Jumpaan 2017 adalah yang paling signifikan iaitu rangka manusia Guar kepah yang dikenali sebagai “Penang Women (GK2017)” yang berusia lebih 5,000 tahun akan menjadi bahan pameran utama di pusat ini.
“Selain itu, sebanyak 42 individu rangka manusia ditemui di Guar Kepah termasuk “Penang Women” serta 41 rangka Guar Kepah dijumpai semasa ekskavasi P.V van Stein Callenfels (1936) yang kini disimpan di Leiden, Belanda dan akan dibawa pulang ke sini kelak,” ujarnya.
Katanya lagi, pembangunan galeri warisan dua tingkat dengan konsep archaeco-edu-tourism ini merangkumi komponen-komponen seperti ruang pameran interaktif, dewan seminar, tapak timbunan cengkerang, ruang pentadbiran serta kemudahan untuk pengunjung.
“Komponen pembangunan ini turut memuatkan kafe dan kioks cenderamata dengan mengambil kira aspek sosioekonomi setempat.
“Bagi memastikan galeri ini turut menjadi pusat penyelidikan dan pemuliharaan rangka serta artifak arkeologi, satu ruang makmal penyelidikan serta ruang simpanan artifak atau rangka turut disediakan,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD