Gangguan bekalan air mungkin lebih 96 jam jika ‘meletup’ kelak, Ketua Menteri respons pelan keterjaminan bekalan air PBAPP

65312097 22e8 4205 bd69 acb5740e6e4d KETUA Menteri (tiga dari kiri) bersama-sama Jagdeep Singh Deo (dua dari kiri), Rashidi Zinol (kanan sekali) dan K. Pathmanathan (kiri sekali) dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 11 November 2023.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menggerakkan 55 lori tangki air di samping cuba mendapatkan bantuan aset tambahan dari beberapa negeri lain semasa pelaksanaan rancangan gangguan bekalan air berperingkat selama empat hari maksimum mulai 10 Januari tahun depan.

Bukan setakat itu sahaja, agensi negeri berkenaan turut akan menempatkan sebanyak 80 tangki air statik di kawasan-kawasan yang dikenal pasti bagi memastikan memastikan majoriti 590,000 pihak atau lebih daripada 50 peratus pengguna yang terjejas (semasa rancangan gangguan bekalan air berperingkat nanti) segera mendapat bekalan air dalam tempoh 72 jam.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa matlamat keseluruhan di sebalik pelan PBAPP tersebut adalah untuk memastikan pengoperasian bekalan air terawat ketika ini dan pada masa hadapan terus terjamin di Pulau Pinang.

“Kalau tidak mahu melakukan penyenggaraan (iaitu rancangan gangguan bekalan air berperingkat) hari ini, kalau tiba-tiba ‘meletup’, kesannya sama juga (iaitu gangguan bekalan air) mungkin lebih dari 96 jam.

“Tetapi, sekarang kita (PBAPP) ada rancangan dalam sebulan sebelum pelaksanaan gangguan bekalan air berperingkat.

“Kalau semua pengguna dapat jimat air dalam tempoh empat hari ini (sehingga 14 Januari 2023) nanti, lagi cepat proses pemulihan (bekalan air terawat) berlaku,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K. Pathmanathan di Komtar pada 11 Disember 2023.

Menjawab soalan pemberita, Pathmanathan menyatakan bagawa secara perundangan, sepatutnya semua premis komersial mempunyai tangki air mengikut kapasiti pengoperasian industri masing-masing untuk dipenuhkan dengan air terawat sebelum PBAPP melaksanakan rancangan gangguan bekalan air terawat nanti.

Pada 8 Disember lepas, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa gangguan bekalan air berjadual itu adalah ekoran PBAPP merancang untuk melakukan dua kerja pembaikan besar dekat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di samping 22 lokasi di seluruh negeri ini.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata bahawa PBAPP akan melakukan kerja-kerja penggantian dua injap 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dekat LRA Sungai Dua yang bocor.

Tambah Pathmanathan, pihaknya terpaksa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan tersebut kerana mengambil kira kehilangan air ketara (NRW) setiap hari yang ketika ini direkodkan sebanyak 28.6 peratus sebulan.

Dalam sidang media tersebut, Zairil dan Pathmanathan turut memperincikan kawasan-kawasan yang dijangka tidak mendapat bekalan air terawat langsung dan mengalami tekanan air rendah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : DARWINA MOHD. DAUD