Ganjaran lumayan menanti atlet Pulau Pinang berjaya raih pingat di SUKMA Sarawak 2024

img 20240803 wa0173

SEBERANG JAYA – Barisan atlet Pulau Pinang yang berjaya meraih pingat dalam saingan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Sarawak 2024 bakal menerima ganjaran yang lumayan.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited untuk memberikan ganjaran kepada atlet-atlet yang berjaya meraih kejayaan dalam kejohanan sukan sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Sekiranya sasaran dapat dicapai, maka ganjaran yang menarik dan lumayan bakal menanti atlet-atlet negeri Pulau Pinang apabila mereka kembali nanti.

“Atlet yang berjaya mendapat pingat sama ada emas, perak atau gangsa akan menerima ganjaran masing-masing,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan bendera negeri kepada kontinjen Negeri Pulau Pinang ke SUKMA XXI dekat Dewan Besar UiTM Cawangan Pulau Pinang dekat sini sebentar tadi.

img 20240803 wa0177

img 20240803 wa0167

img 20240803 wa0169

img 20240803 wa0171

img 20240803 wa0157

img 20240803 wa0175

 

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Rosli Isa; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang Dato’ Abdul Said Hussain dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar.

Menjawab soalan pemberita, Zi Sen memberitahu bahawa majoriti atlet Pulau Pinang yang mengambil bahagian dalam temasya SUKMA XXI, Sarawak 2024 adalah terdiri daripada atlet muda baharu.

“Disebabkan SUKMA mempunyai had dari segi umur atlet yang boleh mengambil bahagian, maka kebanyakan atlet yang beraksi dalam edisi lalu tidak dapat beraksi pada kali ini.

“Jadi pada edisi kali ini, kita tampilkan banyak atlet muda yang diharap dapat membawa kebanggaan kepada negeri Pulau Pinang dengan mencapai sasaran pingat yang ditetapkan.

“Ini juga merupakan perkembangan positif kepada pembangunan atlet dan pada masa sama telah membuka lembaran baru bagi sektor sukan di negeri Pulau Pinang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Mengulas mengenai majlis yang diadakan hari ini, Zi Sen berkata ia merupakan persiapan terakhir bagi meningkatkan semangat Kontinjen Negeri Pulau Pinang dalam masa berbaki lebih kurang 14 hari lagi sebelum temasya berlangsung.

“Ini merupakan persiapan terakhir untuk kita memberikan semangat kepada para atlet, jurulatih, pengurus pasukan serta persatuan-persatuan sukan untuk memastikan sasaran 40 pingat emas berjaya menjadi realiti,” katanya sambil berharap agar semua atlet dapat beraksi pada prestasi terbaik.

Terdahulu, Zi Sen selaku Chef de Mission Negeri Pulau Pinang menyerahkan bendera negeri kepada pembawa bendera utama Kontinjen Negeri Pulau Pinang ke SUKMA XXI, Sarawak 2024, Sriven Tan.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian lagu Ultras Haria Penang Haria dan tayangan montaj bagi membangkitkan lagi semangat para atlet.

Pada temasya kali ini, Pulau Pinang menyasarkan untuk meraih sebanyak 40 pingat emas melalui 35 jenis sukan bersamaan dengan 488 acara keseluruhan yang dipertandingkan, dan menampilkan kekuatan kontinjen seramai 874 orang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI