Ganti baharu 23 unit mesin PHZ kepada pesakit perlu

img 1948 (Dari kiri) MOHD. Sukki Othman, Amran Hazali dan Mohamad Abdul Hamid menyampaikan plakad penyerahan 23 unit mesin baharu homodialisis dalam majlis berkaitan di Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ) pada 7 September 2024.

BAYAN LEPAS – Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ) Bayan Lepas menerima 23 unit mesin baharu yang dilengkapi teknologi terkini bernilai RM920,000.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyampaikan sumbangan kelengkapan daripada sumber dana Zakat Pulau Pinang (ZPP) itu dalam majlis berkaitan di sini pada 7 September 2024.

Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata bahawa ketika ini, ZPP mengendalikan lapan PHZ yang memberi rawatan percuma kepada 210 pesakit buah pinggang kronik, terutamanya kepada golongan asnaf fakir dan miskin.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa ZPP menyediakan bantuan suntikan Erythropoietin (EPO) kepada pesakit yang menjalani rawatan di luar PHZ.

“Majlis ini amat penting bagi kelangsungan operasi Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ) yang telah berkhidmat kepada masyarakat Muslim di Pulau Pinang sejak tahun 2001.

“Kini, setelah hampir 23 tahun beroperasi, pusat ini terus memberikan sumbangan besar dalam menjaga kesihatan komuniti kita,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Berucap sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali menyatakan bahawa menerusi PHZ, diharap senantiasa memberi perkhidmatan terbaik dengan menyantuni para pesakit di samping menjana nilai tambah pada perkhidmatan agensi negeri tersebut.

“Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ) akan dilengkapi dengan mesin baharu bagi menggantikan mesin lama yang telah mencapai tempoh penggunaan melebihi 10 tahun di semua cawangannya.

“Penggantian mesin lama ini adalah untuk menambah baik fasiliti perubatan di PHZ dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pesakit iaitu dalam kalangan asnaf fakir serta miskin di negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

Turut serta, Mufti Kerajaan Negeri, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB