GBS One Mahsuri demi menarik lebih banyak pelabur ke Pulau Pinang, respons Pengurus Besar

BAYAN LEPAS – Orientasi keuntungan bukan lagi menjadi keutamaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi projek pembinaan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) baharu iaitu GBS One Mahsuri yang berada bersebelahan ibu pejabat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini.

Mengulas lanjut, Pengurus Besar PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar berkata, tujuan utama pemajuan projek GSB tersebut adalah untuk menarik lebih banyak pelabur ke Pulau Pinang, seterusnya mewujudkan limpahan kemewahan ekonomi buat rakyat teramai serta Pihak Berkuasa Negeri sendiri.

“Dulu PDC jual tanah, sekarang kita ubah corak perancangan pembangunan korporat kita.

“Bagi sektor bukan kerajaan (private sector), mungkin akan menunjukkan peratusan pertumbuhan perniagaan mereka itu dan ini (selain aspek) orientasi keuntungan dalam bentuk duit ringgit adalah paling utama, tapi tidak bagi PDC.

“Apa pun, keuntungan (dalam bentuk duit ringgit) itu bukan menjadi faktor yang utama, kita (PDC) nak menarik pihak-pihak (pelabur) luar agar ia menepati kehendak (Pihak Berkuasa) Negeri, serta bagi tempoh jangka panjang ia akan membawa faedah berantai untuk rakyat teramai, (Kerajaan) Negeri dan PDC.

“Sekarang ini, kita (PDC) sedang berusaha ‘memanjangkan’ kawasan perindustrian di Pulau Pinang ini adalah apa yang kita panggil ‘tarikan’ serta tumpuan, ramai pihak berminat (untuk melabur).

“Maknanya, ini adalah projek pembangunan pada tahap selanjutnya yang tengah kita (PDC) buat,” jelasnya kepada pemberita selepas acara perasmian Rumah Terbuka Deepavali PDC yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini pada 21 November 2019.

KETUA Menteri.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Pengerusi Persatuan Hindu PDC 2019, L. Muthukumaran antara ratusan hadirin yang menyertai acara rasmi PDC tersebut.

Kon Yeow dalam ucapannya, antara lain berharap pentadbiran baharu PDC di bawah kepemimpinan Mohd. Bazid dapat memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Saya berharap PDC sebagai agensi pembangunan utama dan unggul di negeri ini mampu mengecapi lebih banyak kejayaan di masa hadapan terutamanya dalam meneraju pertumbuhan sosio-ekonomi serta peningkatan kualiti hidup warga Pulau Pinang,” serunya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Hal Ehwal Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

 

GAMBAR tapak projek GBS One Mahsuri, bersebelahan Kompleks Ibu Pejabat PDC, Bayan Lepas di sini.

Mengulas kenyataan Kon Yeow itu, Mohd. Bazid memberidtahu bahawa kini, tahap perkembangan projek pembinaan GBS One Mahsuri adalah mengikut jadual pembanguan, dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan April 2020.

“(GBS) ini sangat penting bagi PDC kerana kita nak menarik pihak (pelabur) luar untuk GBS ini.

“Setakat ini, bagus, telah ada pihak yang berminat, walaupun belum penuh lagi, tapi, kita (PDC) yakin kelak ia akan penuh,” ujarnya.

Beliau yakin bahawa GBS One Mahsuri akan mendapat sambutan para pelabur, sebagaimana yang dapat dilihat di beberapa negara maju.

“Permintaan pada GBS ini, kalau ditengok pada peringkat dunia, seperti India dan Filipina, GBS ini memang mencorak (sektor pelaburan negara).

“Jadi, inilah corak pelan pembangunan pelaburan yang kita dapat lihat, jadi kita buat ‘corak’ yang diperlukan pada masakini,” respons Mohd. Bazid.

Terdahulu, Kon Yeow ketika menyampaikan ucapan sempena Persidangan Sektor GBS Kali Kelima pada 22 Ogos lepas, mengumumkan hasrat Kerajaan Negeri untuk membina GBS One Mahsuri.

Menerusi projek itu, Kon Yeow menyatakan bahawa ruang pejabat Gred A dengan luas lantai keseluruhan kira-kira 80,000 kaki persegi akan disediakan untuk memenuhi keperluan masa hadapan industri bagi sektor GBS negeri.

Menurut beliau, industri GBS One Mahsuri berkaitan diharap mampu memangkin Pulau pinang sebagai ‘Lembah Silikon Asia’.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD