BUKIT TAMBUN – Projek pembinaan dua gelanggang bola keranjang masing-masing di Bandar Tasek Mutiara dan Taman Puteri Gunung dengan kos RM280,000 kini siap sepenuhnya.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pembinaan dua gelanggang tersebut adalah antara 19 projek kemudahan awam yang dirancang oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi tahun 2024.
“Di samping mengejar projek-projek mega berbilion ringgit, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga memberikan keutamaan kepada projek-projek berskala kecil yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
“Sebenarnya, cadangan bagi pembinaan kedua-dua gelanggang bola keranjang ini diterima Kerajaan Negeri semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap tahun lepas.
“Walaupun kemenangan tidak memihak kepada kita (Kerajaan Perpaduan Negeri Pulau Pinang), tetapi projek ini tetap diteruskan kerana Kerajaan Negeri tidak pernah mengetepikan permintaan dan keperluan rakyat negeri ini.
“Oleh itu, terima kasih diucapkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana telah meluluskan peruntukan bagi membolehkan pembinaan dua gelanggang bola keranjang ini disempurnakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Gelanggang Bola Keranjang Bandar Tasek Mutiara dan Taman Puteri Gunung dekat Gelanggang Bola Keranjang Bandar Tasek Mutiara di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Gooh Choon Aik; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor serta barisan Ahli Majlis bagi MBSP
Dalam pada itu, Kon Yeow menyifatkan tahun 2024 sebagai tahun yang membawa tuah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana banyak projek mega yang dimohon daripada Kerajaan Persekutuan telah diluluskan.
“Contohnya Projek Air Perak-Pulau Pinang kini berada pada peringkat rundingan di antara pihak-pihak berkaitan untuk menyelesaikan isu-isu teknikal dan pembiayaan projek.
“Selepas itu, barulah Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai pembeli air terawat boleh masuk untuk berunding dengan pembekal iaitu Kerajaan Negeri Perak.
“Satu lagi projek yang telah mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan ialah pembinaan Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang melibatkan kos RM3 bilion bagi menangani kesesakan di sepanjang laluan berkaitan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).
“Bengkel-bengkel yang melibatkan penyertaan para pemegang taruh sudah dijalankan bagi melihat pelaksanaan projek ini,” katanya.
Kon Yeow berkata, projek lain yang turut mendapat kelulusan adalah pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dekat Bayan Lepas.
“Kerajaan Negeri berharap agar lebih banyak projek yang menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan dapat diluluskan demi manfaat penduduk di negeri Pulau Pinang.
“Dalam hal ini, kita bersyukur kerana Perdana Menteri kini datangnya dari Pulau Pinang, jadi ini mungkin menjadi faktor kepada pertimbangan kelulusan projek-projek yang dinyatakan,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Sementara itu, Mohd. Ibrahim memberitahu bahawa projek pembinaan kedua-dua gelanggang bola keranjang berkenaan dimulakan pada 7 Oktober 2024 dan telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada 5 Januari 2025.
Menurut beliau, pembangunan dua gelanggang berkenaan berpotensi besar untuk memberi manfaat yang signifikan kepada komuniti setempat.
“Lokasi projek ini berada dalam kawasan berkepadatan tinggi dan berhampiran dengan kemudahan seperti sekolah dan kawasan perumahan dan disokong dengan faktor kesinambungan serta kebolehsampaian yang baik.
“Ini adalah bukti jelas komitmen Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat melalui pembangunan kemudahan yang berkualiti,” ulasnya lanjut.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD