Gelanggang Bola Keranjang di Perkampungan Berapit siap dinaik taraf

Admin

BERAPIT – Kerja-kerja penarafan dan baik pulih Gelanggang Bola Keranjang di Perkampungan Berapit di sini siap dinaik taraf dengan kos RM243,000 baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, peruntukan tersebut diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika era pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Peruntukan ini membabitkan kerja penukaran bumbung, pengecatan semula, menyediakan dua unit papan skor elektronik dan menukar peralatan senaman serta menambah beberapa peralatan baharu,” ujarnya yang juga merupakan mantan Timbalan Menteri KBS.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee.

Projek penarafan dan baik pulih berkenaan merupakan hasil kerjasama di antara Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, ADUN Berapit dan juga KBS.

Menurut Lee Lee, gelanggang tersebut merupakan lokasi pilihan untuk masyarakat sekitar, anak muda dan juga Persatuan Bola Keranjang Seberang Perai Tengah (SPT) mengadakan pertandingan, latihan mahupun bersantai.

“Ia sudah seakan-akan budaya masyarakat di sini untuk bermain boleh keranjang.

“Boleh dikatakan gelanggang ini sentiasa penuh dengan aktiviti ekoran ia adalah gelanggang berbumbung yang telah lama didirikan di sini.

“Sebenarnya kita terima aduan bahawa kebocoran bumbung ini telah lama berlaku, jadi saya telah berhubung dengan YB Steven untuk melihat apakah yang boleh dilakukan untuk tambah baik, bahkan idea dan cadangan daripada Persatuan Bola Keranjang SPT turut diambil kira ketika penaiktarafan ini,” jelas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ENG KOK WEI