Gelanggang Bola Keranjang Taman Cermai siap dinaik taraf, beri manfaat kepada komuniti setempat

PERMATANG PASIR – Kerja-kerja menaik taraf Gelanggang Bola Keranjang Taman Cermai dekat sini telah siap dinaik taraf sepenunya dengan kos berjumlah RM105,450.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memberitahu bahawa kerja-kerja yang dijalankan termasuklah menaik taraf lantai dan tiang, mengecat permukaan lantai serta pemasangan lampu limpah.

“Oleh itu, terima kasih diucapkan kepada Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan pihak kontraktor Tekat Murni Enterprise atas komitmen untuk menjayakan projek naik taraf gelanggang bola keranjang ini yang bakal memanfaatkan komuniti setempat.

Bersama beberapa juara bai pertandingan bola keranjang yang diadakan sempena Majlis Perasmian dan Penyerahan Gelanggang Bola Keranjang Taman Cermai dekat sini semalam.

“Kerja-kerja menaik taraf mengambil masa selama 16 minggu mulai 16 Ogos 2021 dan siap sepenuhnya pada 10 Disember tahun yang sama,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Gelanggang Bola Keranjang Taman Cermai di sini pada 27 Mac 2022.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Pegawai Daerah SPT Kamarul Haizal Koderat.

Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan kajian soal selidik Penang Sports Index secara atas talian pada Januari hingga April tahun lepas untuk mengetaui kemudahan sukan yang diperlukan di setiap komuniti.

“Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa jenis sukan yang paling digemari oleh masyarakat di negeri ini adalah joging dengan undian sebanyak 56 peratus.

“Susulan dari itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM178,641 bagi pembinaan tiga laluan joging di Seberang Perai pada tahun 2021 melibatkan Taman Bayu, Taman Ampang Jajar dan Sungai Udang dekat Sungai Acheh.

“Pada tahun ini pula, Kerajaan Negeri juga merancang untuk membina laluan joging di sekeliling padang bersebelahan Gelanggang Bola Keranjang Taman Cemai di samping mengekalkan peralatan permainan kanak-kanak yang berada di padang ini,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa sebanyak RM1.6 juta telah diperuntukan oleh Kerajaan Negeri pada tahun ini untuk membangunkan kemudahan sukan di setiap daerah di negeri ini.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya akan berusaha memastikan keperluan masyarakat Negeri Pulau Pinang terhadap kemudahan sukan sentiasa dipenuhi.

Gelanggang Bola Keranjang Taman Cermai sedia digunakan oleh orang awam.

“Justeru, satu lawatan tapak telah diadakan melibatkan daerah Seberang Perai Utara, daerah Seberang Perai Tengah, daerah Timur Laut dan daerah Barat Daya.

“Lawatan ini adalah untuk mengkaji permohonan-permohonan yang dikemukakan oleh agensi-agensi seperti Pejabat ADUN, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT),” katanya sambil menyeru orang awam agar memanfaatkan kemudahan sukan yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata bahawa penaiktarafan Gelanggang Bola Keranjang Taman Cermai adalah demi manfaat penduduk setempat terutama orang muda

“Jadi di kesempatan ini saya ingin megucapkan terima Terima kasih YB Soon Lip Chee atas keprihatinan beliau dengan meluluskan peruntukan bagi projek rakyat ini,” ujarnya ringkas.

Oleh SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADUN