SERI DELIMA – Selaras dengan Visi Penang2030, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan serta keharmonian yang sedia terjalin tanpa meminggirkan mana-mana latar belakang kaum, agama dan budaya.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dasar perpaduan yang telah diusahakan selama ini wajar dihargai dan tidak disia-siakan.
“Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah menerima mandat daripada pengundi serta rakyat, (dan) walaupun pentadbiran tidak sempurna juga ada kecacatan, tetapi kita bangga kerana usaha kita tidak sia-sia yang mana kebajikan serta pembangunan negeri senantiasa menjadi keutamaan kerajaan ini.
“(Dan) walaupun dari semasa ke semasa akan ada isu-isu yang bakal menjejaskan perpaduan ini, namun saya percaya apa jua masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan semangat yang muhibah.
“Di samping itu, tanggungjawab saya sebagai Ketua Menteri adalah untuk mengembleng segala sumber dan usaha, baik daripada pihak kerajaan mahupun swasta agar segala perancangan dapat disiapkan serta membawa manfaat kepada rakyat jelata.
“Oleh itu, ekoran daripada perubahan dalam Kerajaan Persekutuan, maka tahun ini serta tahun lepas menjadi tahun-tahun yang amat disambut baik dek banyak projek pembangunan infrastruktur diluluskan dan mula telah dilaksanakan pada peringkat-peringkat tertentu,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lengkok Bawah bersama-sama Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima dan Parlimen Bukit Gelugor di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran serta barisan pimpinan MPKK Lengkok Bawah.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut berharap agar pentadbiran Kerajaan Perpaduan membawa kepada kestabilan negara.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya berharap ekonomi negeri akan semakin pulih atas usaha Perdana Menteri yang telah bekerja keras untuk memastikan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk stabil, dan saya percaya sudah hampir dua tahun kita dapat lihat Kerajaan Persekutuan telah ditangani dengan baik sekali.
“Justeru, adalah diharapkan semoga sinar Deepavali akan sentiasa dapat memperkukuhkan semangat kepada pembangunan negara selari dengan Visi Penang2030 dan Malaysia Madani yang digagaskan berpaksikan kepada prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi bagi memastikan segala perancangan serta pembangunan negeri ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Serentak majlis sama, sekalian tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian klasik tradisional burung merak disusuli sesi penyampaian hadiah cabutan bertuah, sumbangan duit raya dan disinari kemeriahan percikan bunga api.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT