Gemerlapan cahaya di malam sambutan ‘Earth Hour’

Admin
ORANG ramai menyalakan lilin sebagai tanda sokongan program ‘Earth Hour’.
ORANG ramai menyalakan lilin sebagai tanda sokongan program ‘Earth Hour’.

 

GEORGE TOWN – Saban tahun, ‘Earth Hour’ disambut hampir di 4,616 buah bandaraya dan melibatkan lebih 128 buah negara seluruh dunia. Bermula pada 31 Mac 2007 di Sydney, Australia kini ‘Earth Hour’ diraikan oleh lebih 1.3 bilion masyarakat dunia. ‘Earth Hour’ disambut setiap tahun pada hari Sabtu minggu terakhir bulan Mac.

Kempen kesedaran pemuliharaan bumi dan penjimatan tenaga yang diadakan secara tahunan ini adalah anjuran ‘World Wide Fund for Nature’ (WWF) bersama ‘Futurise Global Community Foundation’ dan Kerajaan Negeri, berlangsung di Esplanade, Jalan Padang Kota Lama. Walaupun hujan sepanjang hari, ia tidak mematahkan semangat para pengunjung pada malam tersebut.

Bermula tahun 2009, Malaysia tidak ketinggalan menyertainya. Hal ini bukan sahaja menzahirkan sokongan terhadap inisiatif murni malah ia memberi peluang kepada generasi akan datang untuk lebih memahami dan menghargai alam sekitar kita.

Sambutan ’Earth Hour’ adalah penting untuk menyedarkan masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup lestari bagi mengelakkan malapetaka. Di Malaysia, kita masih bergantung kepada sumber tenaga seperti arang batu dan gas asli. Stesen janakuasa yang membekalkan tenaga elektrik, secara amnya adalah membakar petrol fosil untuk menampung keperluan tenaga kita, walhal, ia juga menyebabkan pembebasan jumlah gas rumah hijau yang tinggi seperti karbon dioksida, karbon monoksida dan metana yang menjadi penyumbang peningkatan suhu dunia.

Berdasarkan rekod Tenaga Nasional Berhad (TNB), sambutan pada tahun 2009 dan 2010 telah mencatatkan penurunan penggunaan sebanyak 753 megawatt di seluruh negara. Malah jumlah penjimatan tenaga turut meningkat rentetan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memulihara alam sekitar turut meningkat.

Di Pulau Pinang, bangunan-bangunan ikonik seperti KOMTAR, Jambatan Pulau Pinang, Dewan Perbandaran MPPP, Mahkamah Tinggi, Dewan Sri Pinang dan Ibu Pejabat MPSP turut menyertai sambutan kali ini.