Gempa bumi Myanmar, Pulau Pinang tidak terkesan – Kon Yeow

Admin
11310325 c81a 426c a83a 6a67e236628a

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa setakat ini, Pulau Pinang masih tidak terkesan oleh insiden gempa bumi yang melanda Myanmar semalam.

“Setakat ini, negeri Pulau Pinang tidak terkesan oleh insiden gempa bumi kuat yang berlaku semalam.

“Malah, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat senantiasa menjalankan kerja-kerja pemeriksaan penting, khususnya selepas insiden tersebut.

“Sebagai makluman, reka bentuk bangunan Komtar termasuk jambatan-jambatan di Pulau Pinang direka dengan kemampuan menampung ukuran skala magnitud gempa bumi.

“Semasa kejadian, saya berada di Bilik Gerakan dekat Komtar untuk bermesyuarat, sejujurnya saya tidak merasakan sebarang gegaran,” katanya di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soalan pemberita berhubung insiden gempa bumi di Myanmar tengah hari semalam yang berkemungkinan memberi impak kepada negeri ini.

Difahamkan, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan bahawa kejadian gempa bumi tersebut adalah berukuran 7.7 magnitud pada kedalaman 10 kilometer (6.2 batu).

Menurut media kerajaan Myanmar pula, gempa bumi itu telah menyebabkan runtuhan beberapa bangunan di lima bandar serta pekan, jambatan kereta api dan jambatan jalan raya di Lebuhraya Yangon-Mandalay.

Bagaimanapun, menurut MetMalaysia, tiada ancaman tsunami dilaporkan kepada Malaysia susulan kejadian tersebut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : SIEW CHIA EN