‘Gen-Y Berkemahiran’ ubah generasi asnaf zakat

ZAKAT Pulau Pinang (ZPP) baru menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Naza Academy yang berpengkalan di Gurun Kedah, bagi menjayakan projek perintis

“ G e n – Y Berkemahiran” yang membabitkan 30 anak daripada keluarga asnaf terpilih di negeri ini. Ikuti Wawancara wartawan Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama Penolong Pengurus Besar ZPP, Mohamad Kairi Ghazali (MK), 42, berhubung projek perintis tersebut.

BM : Selalunya ZPP lebih dilihat gigih dalam menguruskan asnaf berkaitan hal ehwal keagamaan. Bagaimana boleh tercetus idea mengadakan projek perintis dengan kerjasama dalam dunia automotif ini pula?

MK : Idea mengeluarkan golongan asnaf daripada menjadi penerima zakat kepada pemberi zakat melalui ZPP ini sebenarnya bukanlah idea yang baru.

Sebelum ini pun ada idea sebegini, di mana ZPP mengagihkan zakat untuk golongan asnaf yang mahu memulakan perniagaan. Dahulu, ZPP turut pernah mewujudkan projek perintis ala-ala kedai runcit 24 jam seperti 7 Eleven, yang dikenali sebagai Zakat Mart di negeri ini.

Di bawah projek perintis Gen-Y Berkemahiran ini, seramai 30 pelatih dipilih oleh ZPP, di mana mereka daripada keluarga asnaf juga, ratarata tiada sijil seperti sijil PMR (Peperiksaan Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), tetapi mereka ada pelajaran agama di sekolah tahfiz al-Quran dan seumpamanya.

Melalui projek perintis “Gen-Y Berkemahiran” ini juga, ZPP hanya membantu mereka mendapatkan kemahiran automotif seperti membaiki enjin, menyembur cat serta memasang tinted kereta, supaya mereka tidak tercicir dalam dunia kerjaya kelak, hanya disebabkan tiada sijil peringkat sekolah menengah.

BM : Pembiayaan 30 pelatih ini diambil dari asnaf Fi Sabilillah atau macam mana?

MK : Semua kita tahu, golongan AlFuqara’, Al-Masakin, Amil (pemungut dan pengagih zakat), Muallaf (mereka yang baru memelukIslam), Riqab (hamba yang dibelenggu atau tiada kebebasan diri), Ghamirin (orang Islam yang tidak mampu melangsaikan hutangnya), Fisabilillah (pelajar serta orang yang berusaha melakukan aktiviti meninggikan Islam) dan Ibnus Sabil (musafir yang terputus sumber hidup) merupakan lapan asnaf yang layak menerima zakat.

Khalifah Umar al-Khattab dahulu pun pernah memberi zakat kepada Ahli Kitab (beragama Majusi dan Nasrani) sampai dipertikai oleh para Sahabat radiyaLlahu ‘anhum yang lain. Sambil membaca ayat 60 daripada Surah At-Taubah yang bermaksud, “sesungguhnya sedakah (zakat) itu untuk golongan fakir…” Khalifah Umar al-Khattab berkata, “di zaman aku ini, mereka (golongan fakir) itu adalah Ahli Kitab.”

Selanjutnya boleh rujuk karya Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi dalam Fiqh al- Zakat, 2/707. Ertinya, Khalifah Umar AlKhattab memberi zakat kepada Ahli Kitab terbabit bukanlah atas sebab keagamaan mereka, tetapi, atas sebab kefakiran mereka. ZPP tidak lah sampai pada ijtihad berani Khalifah Umar Al-Khattab ini, dan 30 pelatih dalam projek perintis Gen-Y Berkemahiran ini dipilih daripada keluarga asnaf fakir juga.

BM : Bolehkah Tuan perjelaskan dengan lebih lanjut mengenai projek perintis Gen – Y Berkemahiran ini?

MK : Sebenarnya program kemahiran yang diikuti oleh mereka di Naza Academy melalui projek perintis ini macam program yang diikuti di Giat Mara juga. Semua pelatih terpilih adalah berumur antara 18 tahun hingga 35 tahun.

ZPP pilih anak-anak asnaf kerana kesukaran kita (ZPP) membawa ibu bapa daripada golongan asnaf untuk mengikuti program kemahiran sebegini. Tempoh belajar kemahiran untuk tahap pertama adalah enam bulan, diikuti enam bulan untuk tahap kedua dan enam bulan seterusnya untuk tahap ketiga. Kira-kira RM7,440 (kos) untuk seorang pelatih bagi satu-satu sesi, meliputi kos pengajian, penginapan, makan minum, elaun harian dan kos semua 30 pelatih ini ditanggung oleh ZPP.

Mereka layak menerima sijil daripada Sijil Kemahiran Malaysian (SKM) apabila selesai pengajian bagi satu-satu tahap. Kalau sampai ke tahap tiga, tarafnya seperti diploma dan pengajian lanjut seterusnya, mungkin akan ditaja oleh Naza Academy, jika cemerlang.

Apa yang lebih penting, Naza Academy juga akan membantu mencari peluang untuk kita (ZPP) supaya pelatih-pelatih ini dapat diceburkan dalam dunia industri automotif, sama ada di (kilang) Naza atau sektor swasta lain.

Mereka yang terpilih ini diminta memberi komitmen mengikuti kursus pada sebelah pagi dan petang di Naza Academy ini dan pada sebelah malam wajib mengikuti program pendidikan agama dan kerohanian yang disediakan oleh kita (ZPP).

Makna kata, dari segi keagamaan pun ZPP tak mengabaikan dan kita dan Naza Academy saling pantau mengenai perkembangan pelatihpelatih ini.

BM : Ada lagi projek perintis lain di bawah ZPP, selain Gen-Y Berkemahiran ini?

MK : Sebenarnya ada beberapa lagi projek seperti Gen-Y Berkemahiran. Dahulu, kita ada projek Zakat Mart, iaitu mengambil anak-anak daripada keluarga asnaf bekerja dengan ZPP supaya mereka mampu keluar daripada golongan penerima zakat kepada golongan pemberi zakat suatu hari nanti.

Selain itu, ZPP juga ada 1 – 15 Mac, 2015 23 mengeluarkan sumbangan zakat kepada mereka yang mahu mengembangkan perniagaan kecilan-kecilan daripada golongan asnaf juga, seperti membeli kuali untuk perniagaan goreng cucur dan sebagainya.

Pada hujung bulan Mac ini, Z P P dalam rancangan menandatangani satu lagi perjanjian (MOA) dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) yang berpengkalan di Bayan Lepas, untuk menghantar 60 lagi pelatih terpilih daripada golongan asnaf, seperti projek perintis Gen-Y Berkemahiran ini juga.

BM : Akhirnya, apa harapan Tuan dan ZPP untuk membangunkan potensi umat Islam di negara ini melalui sumber zakat?

MK : Melalui projek perintis Gen-Y Berkemahiran ini sendiri umpamanya, memang kita nak melahirkan tenaga mahir yang beramanah dalam agamanya dan berbakat dalam dunia kerjayanya.

Banyak lagi yang ZPP sedang memikirkan, antaranya kursus-kursus kemahiran yang mudah, tetapi, mampu membangunkan upaya generasi masa depan daripada golongan asnaf ini. ZPP tengah mengkaji proses kursus kemahiran seperti memasang aksesori kereta dan memasang tinted kereta, kerana bidang inipun mempunyai prospek kerjaya dan keuntungan yang lumayan, jika diceburi oleh golongan asnaf.

ZPP akan cuba melakukan beberapa lagi projek generasi, iaitu mengubah generasi asnaf daripada terus menjadi penerima zakat kepada pemberi zakat, sama ada zakat fitrah atau zakat niaga.

Sebagaimana pada Majlis Pelantikan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Sebagai Amil Zakat Kepada ZPP hari ini, insya-Allah kita berharap akan ada kerjasama selanjutnya, seperti agensi Pusat itu menyalurkan pinjaman mikrokedit kepada golongan asnaf di bawah kita (ZPP) yang mahu memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka kelak.

Kita harap projek perintis Gen-Y Berkemahiran ini berjaya dahulu, yang lain akan menyusul.

}