Generasi Madani perlu kekuatan dalaman seimbang – Ketua Menteri

Admin
6ad1a911 485f 4a71 aa18 ee45ba9aa6dc KETUA Menteri bersama -sama beberapa pemimpin negeri lain merakamkan gambar kenangan seusai Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak 9-Sebelah Piala ❤️PENANG di Padang Brown di sini pada 9 Disember 2024

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berhasrat melahirkan generasi Madani dalam kalangan muda-mudi di Pulau Pinang yang seimbang pada aspek pembangunan akademik, sosial, ekonomi, sahsiah dan sukan.

2ae6a760 13c9 4c39 9183 3b7f0cdc461a
KETUA Menteri (kiri) menerima plak cenderamata daripada wakil penganjur kejohanan di sini pada pagi tadi.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak 9-Sebelah Piala ❤️PENANG di Padang Brown dekat sini pada 9 Disember 2024.

“Dalam usaha mencapai Visi (Penang2030) tersebut serta pembentukan generasi Madani, pembangunan sosial dan ekonomi secara progresif serta seimbang adalah sangat penting.

“Saya sering kali menegaskan bahawa selain daripada pembangunan akademik dan sukan, nilai akhlak serta sahsiah yang terpuji adalah amat penting untuk melahirkan sebuah masyarakat Madani.

“Sehubungan itu, saya berharap kejohanan (bola sepak 9-Sebelah Piala ❤️PENANG) akan berlangsung dengan lancar dan adil bersulamkan semangat kesukanan yang menyala-nyala demi pembangunan sukan bola sepak tempatan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

089859bf 9251 4c1f 8393 d45e973b6f9f
ANTARA aksi saingan yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara pada awal pagi tadi.

Di samping itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) Kawan-Kawan atas kejayaan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak 9-Sebelah Piala ❤️PENANG yang buat kali kedua bermula pada tahun lepas.

“Kejohanan bola sepak tempatan ini bukan sahaja berjaya mengumpul penglibatan 20 pasukan dari Pulau Pinang, malah dari negeri-negeri jiran seperti Kedah dan Perak yang merangkumi kira-kira 400 pemain dan pegawai kejohanan.

Turut berucap, Pengerusi Program Kejohanan Bola Sepak 9-Sebelah Piala ❤️PENANG merangkap Naib Presiden KSR Kawan-Kawan, Rais Musaddiq Rayisi.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Ahli Majlis MBPP, Alan Lim Wei Lun; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Mohd. Azizudin Shariff; Pengerusi KSR Kawan-Kawan, Mohamed Sikkandar Mohamad Madina dan Timbalan Pengerusi KSR kawan-Kawan, Mohamed Irfan Sickandar Shah turut sertai majlis perasmian kejohanan bola sepak tempatan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS