Generasi muda diseru asah kemahiran melalui 8 kursus atas talian PYDC

Admin

GEORGE TOWN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee menyeru anak muda di negeri ini untuk mengasah kemahiran melalui program ‘Reskilling, Upskilling & New Skilling PYDC Essential Skills Programme’ anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

Soon Lip Chee.

Beliau berkata, melalui inisiatif tersebut, PYDC telah memperkenalkan sebanyak lapan kursus secara atas talian bagi mengembangkan lagi kemahiran dan kebolehan serta nilai kualiti generasi muda.

“Penyertaan bagi program ini adalah secara percuma dan dibuka mulai hari ini kepada semua belia di negeri ini.

“Lapan kursus ini adalah merangkumi pembinaan diri, pengurusan kewangan peribadi, mempunyai daya pemikiran yang inovatif dan fleksibel, pengucapan awam, kemahiran sosial, kepimpinan menghadapi krisis, tindak balas yang berkesan dan pemikiran kritis serta kaedah penyelesaian masalah yang efektif,” katanya pada sidang media mengenai program berkenaan secara maya, sebentar tadi.

Tambah Lip Chee, pada era ini, lebih banyak penekanan yang harus disalurkan kepada generasi muda untuk meningkatkan kebolehan diri mereka terutamanya dalam kemahiran insaniah.

“Kemahiran insaniah perlu ada dalam diri mereka (generasi muda), dan berkaitan kursus-kursus yang telah ditawarkan, ia dapat mendidik dan meningkatkan lagi kebolehan diri mereka selain membolehkan mereka menjadi pemimpin negara.

“Saya berharap agar generasi muda di seluruh negara dapat memanfaatkan peluang yang telah dicipta untuk mereka mengembangkan bakat dalam diri dan memperoleh pengalaman berguna yang diajar oleh barisan tenaga pengajar yang profesional,” kata beliau yang juga pengerusi PYDC.

Difahamkan, semua peserta yang berminat bebas untuk membuat pilihan kursus yang diminati sama ada ingin memilih kesemua lapan kursus atau salah satu darinya.

Untuk mendaftar, peserta haruslah mengimbas kod QR atau hanya klik https://forms.gle/5rTwRDKHopjPHiEYA selewat-lewatnya dua hari sebelum kursus bermula.

Butiran maklumat program & kod QR untuk mendaftar.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING