Generasi muda, pendidikan pelaburan masa depan negara

Admin

PANTAI JEREJAK – Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata bahawa generasi muda hari ini perlu mengutamakan pendidikan demi masa depan negeri dan negara.

 

 

Beliau berkata, kemajuan sesebuah negeri dan negara boleh diramal berdasarkan pembentukan generasi muda hari ini yang dipersiapkan untuk memimpin pada masa hadapan.

 

 

“Seperti kursus pemantapan rohani yang kita jalankan pada hari ini, walaupun melibatkan belanja yang besar tetapi ini adalah sebahagian daripada pelaburan untuk masa depan negeri kita.

 

 

“Agama Islam pun tekankan pendidikan kerana dengan pendidikan ia boleh mengubah status hidup seseorang, malah pendidikan juga kita akan membuatkan kita lebih dihormati dan dipandang tinggi.

 

“Seterusnya kita boleh beri pulangan kepada masyarakat untuk memajukan negeri dan negara,” ujar Fahmi pada Kursus Pemantapan Rohani Tahun 2023 dekat Bayan Baru di sini pada 18 November lalu.

 

 

Turut hadir, Penghulu bagi Pejabat Daerah dan Tanah bagi Daerah Barat Daya, Muhammad Fizri Muhammad Fu’ad dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Nibong Besar, Shawal Ahmed.

 

 

Pada kursus berkaitan, seramai 40 orang pelajar sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak terlibat bersama-sama fasilitator dari Universiti Sains Malaysia (USM).

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT