George Town ke arah ‘cashless city’

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini sedang mengorak langkah dalam menjadikan George Town sebagai ‘cashless city‘.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa masyarakat tanpa tunai atau ‘cashless society‘ merupakan trend terkini yang semakin diterima ramai.

Menurutnya, sejajar dengan perkembangan teknologi dan kemunculan era revolusi industri 4.0, bidang pengurusan kewangan menjadi semakin canggih.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa hasrat menjadikan George Town sebagai bandar raya tanpa tunai atau ‘cashless city‘ memerlukan kerjasama semua pihak terutama golongan penjaja dan komuniti peniaga.

Pulau Pinang antara negeri yang paling banyak menggunakan transaksi tanpa tunai di Malaysia.

“(Dan) ia merupakan salah satu indikator dalam menuju bandar raya yang maju,” ujar Kon Yeow ketika hadir merasmikan Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga 2019 di Padang Kota Lama lewat petang tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Ahli-ahli Majlis MBPP serta jawatankuasa penganjur sambutan berkaitan.

KETUA Menteri bersama-sama Datuk Bandar dan dif kehormat lain menyempurnakan gimik sambutan.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menyeru semua penjaja dan komuniti peniaga supaya sentiasa proaktif dalam mencari alternatif serta inovasi bagi memastikan produk jualan memenuhi kehendak pengguna.

“Kita (rakyat dan pimpinan negeri) perlu berusaha mempertahankan pengiktirafan yang diterima sebagai ‘World’s No. 1 Destination for Food Lovers’ (Destinasi untuk Penggemar Makanan No. 1 Di Dunia) daripada Lonely Planet.

“(Dan) lain-lain pengiktirafan yang diterima sebelum ini kerana ia memberi kelebihan kepada kita khasnya golongan penjaja serta komuniti peniaga untuk meningkatkan ekonomi keluarga selaras dengan Visi Penang2030.

“Masyarakat juga perlu memahami dan menyokong segala usaha, segala kempen serta polisi yang diperkenalkan untuk memastikan Pulau Pinang terus dikenali sebagai salah satu destinasi pilihan penggemar makanan seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Tung Seang dalam ucapannya turut menyeru para penjaja dan komuniti peniaga di negeri ini agar memaparkan imej yang baik dan bersih serta mementingkan keselamatan makanan.

ANTARA pengunjung yang turut serta dalam Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga di sini, tadi.

“Pengurusan premis makanan yang baik akan membantu memperkukuhkan serta membawa kemajuan kepada penjaja dan komuniti peniaga.

“Oleh demikian, pemeriksaan dan penggredan premis makanan serta gerai penjaja giat dijalankan.

“Malah, pihak MBPP juga mewajibkan pemasangan perangkap minyak di premis makanan bagi memastikan kebersihan tempat makanan terjaga,” jelasnya.

Sebagai rekod, Tung Seang memaklumkan bahawa 95 peratus premis di pasar dan kompleks penjaja di bawah pihak berkuasa tempatan itu telah mencapai Gred A dan B.

”Manakala, bagi establisymen makanan pula, 95.8 peratus telah mencapai Gred A dan B.

“Saya berharap baki 5 peratus (Gred C) lagi dapat mempertingkatkan tahap kebersihan di premis masing-masing.

“Sokonglah kempen larangan penggunaan plastik sekali guna, amalkan pengasingan sisa di punca dan pastikan premis anda dipasang dengan perangkap minyak dalam menjamin kebersihan serta keselamatan makanan kepada pengunjung,” serunya.

Dalam sambutan sama, beberapa penjaja dan komuniti peniaga turut menerima penganugerahan atas sumbangan serta inisiatif bagi memastikan kebersihan premis.

Antaranya, Starbucks, Jalan Batu Feringghi yang menerima Anugerah Restoran Terbaik; Restoran Nasi Kandar Pelita, Jalan Macalister (Anugerah Restoran Nasi Kandar Terbaik); Hotel Homptoms, Jalan Tanjong Tokong (Anugerah Restoran Dalam Hotel Terbaik); KFC Tesco Tanjung Pinang (Anugerah Restoran Makanan Segera Terbaik); Kim Poh Cuisine, Jalan Van Praagh (Anugerah Kedai Kopi Terbaik); Kobe Precision Technology Sdn. Bhd. (Anugerah Khas bagi Industri) dan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. (Anugerah Khas bagi Trade dan Perniagaan).

Turut menerima penganugerahan ialah beberapa peniaga terpilih di Kompleks Makanan bawah MBPP serta Pengurusan Pasar Malam Terbaik.

Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga disambut saban tahun sejak 1996 dan MBPP menjadi satu-satunya pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang masih menyambutnya.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD 
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI