GEORGE TOWN – Beberapa taman rekreasi di negeri ini bakal dibuka semula kepada pengunjung mulai 6 Jun (Sabtu) ini dari jam 7 pagi hingga 7 malam.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa semua pengunjung adalah perlu mendaftarkan diri secara individu melalui imbasan kod QR aplikasi Penang Contact Tracer (PGCare) bagi tujuan pengesanan kontak.
“Taman-taman yang akan dibuka semula adalah Taman Bandaraya (Youth Park), Taman Metropolitan Relau, Taman Botani Pulau Pinang serta kawasan mendaki Bukit Jambul.
“Selain itu, aktiviti mendaki Bukit Bendera dari laluan warisan di kaki bukit stesen dan pintu jalan jeep Bukit Bendera juga dibenarkan tetapi hanya untuk pejalan kaki sahaja.
“Bilangan pengunjung pula adalah terhad kepada 200 orang pada satu-satu masa kecuali Taman Metropolitan yang hanya dibenarkan 50 orang sahaja,” katanya ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau di Komtar sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa semua Hutan Simpanan Kekal di bawah Jabatan Perhutanan iaitu Taman Bukit Panchor, Teluk Bahang, Cherok Tokun, Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam dan Bukit Juru masih lagi ditutup.
“Manakala Taman Negara Pulau Pinang di bawah seliaan Jabatan Perhilitan serta taman rekreasi dan empangan di bawah kendalian Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga masih kekal ditutup,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 15 buah taska di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dibuka mulai 1 Jun lalu dengan pematuhan tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Bagi tadika pula, mesyuarat meminta supaya ia dibawa kepada pertimbangan Kerajaan Pusat bagi tempoh pembukaan,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.
Tambah Kon Yeow, bagi membantu golongan peniaga mikro yang terkesan ekoran impak penularan wabak COVID-19, gerai durian turut dibenarkan menjual secara ‘take away’ mulai 4 Jun ini dengan SOP ketat.
“Bukan itu sahaja, bagi memastikan pemasaran hasil tangkapan laut nelayan di Pasar Bisik dekat Penaga yang kini operasinya disita selama tujuh hari, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Pejabat Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) seta Exco yang bertanggungjawab akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung hal berkaitan,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN