Gerai jualan durian tepi jalan dibenar beroperasi semula, patuhi SOP ketat

Admin

KOMTAR – Sekitar 100 gerai durian tepi jalan di sekitar kawasan pulau negeri ini dibenar beroperasi semula tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Kelulusan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu merangkumi pematuhan dari aspek hanya dibenarkan jualan melalui pembungkusan durian di dalam bekas untuk di bawa balik sahaja.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) banyak menerima permintaan daripada pengusaha durian untuk membenarkan kembali pembukaan sektor perniagaan tersebut memandangkan ia bermusim.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, kita (Kerajaan Negeri) memahami kegusaran mereka (peniaga) memandangkan durian ini dikategorikan sebagai perniagaan bermusim.

“Kalau musim (durian) habis nanti, kita hendak merancang sesuatu pun tidak guna lagi, justeru mereka (peniaga durian) memerlukan bantuan supaya dapat bangkitkan semula ekonomi sektor ini.

“(Kerajaan Negeri) benarkan mereka untuk beroperasi dan melakukan jualan durian di tepi jalan seperti sebelumnya, tetapi tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat.

“Untuk itu, saya telah mengarahkan Majlis untuk pastikan kawalan dan SOP ini dipatuhi,” ujarnya sambil memberitahu bahawa perkara itu adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membuka sektornya secara beransur-ansur.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Joseph Ng Soon Siang (ADUN Air Itam) dan Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar MBPP).

Lai Heng dan Tung Seang pada sidang media sama turut mengulas mengenai langkah proaktif bagi membangunkan semula sektor perniagaan bermusim tersebut.

Menurut Tung Seang, pihaknya melalui Ahli Majlis MBPP, Nicholas Theng Jie Wey telah menubuhkan satu jawatankuasa kecil bagi meneliti dan mengkaji permintaan tersebut.

Jelasnya, satu SOP menyeluruh sedang dirancang dan dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

“Ia adalah usaha membantu mereka membangunkan semula ekonomi dan pendapatan, dalam masa sama kita perlu juga terus berjaga-jaga dalam isu keselamatan kesihatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Lai Heng ketika diminta mengulas menyambut baik pengumuman tersebut memandangkan Jalan Macalister dan Lorong Susu di sini merupakan antara lokasi popular buat pelancong atau masyarakat tempatan untuk menikmati keenakan buah durian di kawasan George Town.

“Dengan pengumuman ini diharap penjual-penjual durian dapat menarik nafas lega walaupun jualan hanya dibenarkan untuk di bawa pulang.

“Kita harapkan lagi seminggu atau dua minggu akan ada berita baik menyusul… walau bagaimanapun ia memerlukan kerjasama daripada rakyat, penjual durian dan pelanggan yang dating untuk mematuhi SOP yang ditetapkan,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN