Gerai roboh tidak dibina semula di tepi jalan – Exco

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan,  Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kini tiada perancangan untuk membina gerai penjaja baru di tepi jalan, manakala, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pula hanya giat menaiktaraf kompleks makanan yang sedia ada.

Beliau berkata demikian susulan gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Sr. Mohamad Farid Saad supaya membina semula gerai-gerai yang telahpun dirobohkan di tepi jalan yang sesuai.

“Mana-mana penjaja tanpa lesen yang (menerima) notis akan diberikan keutamaan untuk memasuki kompleks makanan MPPP.

“MPSP pula mengadakan temuduga terbuka setiap bulan bagi pengisian ruang niaga majlis yang masih kosong.

“Keutamaan diberikan kepada penggerai yang telah diambil tindakan atau yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan, seperti notis dan kompaun,” ujarnya pada sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Kon Yeow memberitahu, MPPP dalam tahun ini direkodkan merobohkan lima gerai tanpa kelulusan di Paya Terubong dan satu gerai di Jalan Sultan Azlan,
manakala, 18 gerai haram lain dirobohkan oleh MPSP.