Gerak lori tangki mudah alih bantu mudahkan penduduk dapat bekalan air

fc1bf527 6d8f 4179 9656 b83ffc3d28a4

GEORGE TOWN – Ekoran gangguan bekalan air berjadual yang diumumkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bermula semalam, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan Negeri bersama turun padang bagi memastikan keadaan berada dalam terkawal.

Di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng selaku ADUN kawasan turut menggerakkan lori mudah alih yang membawa belakan air ke rumah-rumah penduduk.

“Jam 4 petang dan 5 petang lori tangki bergerak akan melalui Jalan Selatan, Jalan Bunga Raya, Pintasan Pemancar dan Lengkok Pemancar, sekiranya terdengar bunyi hon, penduduk bolehlah keluar mendapatkan bekalan.

img 9730

“Sekiranya ada yang terlepas boleh hubungi talian 04 – 659 5611 / 017- 734 0928 untuk bantuan susulan,” ujar Hooi Peng.

Sementara itu, ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong dalam kenyataannya memberitahu bahawa kawasan tersebut kurang terjejas.

“Keseluruhannya, kawasan dalam KADUN Batu Lancang tiada gangguan bekalan air, saya difahamkan daripada peniaga di pasar bahawa bekalan air mula diterima sejak pukul 3 pagi tadi, cuma tekanan air agak rendah.

img 9733

“Tinjauan saya ke kawasan kediaman juga tidak menerima sebarang aduan tentang bekalan air setakat ini.

“Sebelum ini, saya bimbang peniaga dan penjaja kecil di sini terganggu disebabkan gangguan bekalan lantas menyediakan dua tong air besar di setiap pasar sebagai persediaan awal,” maklum Ah Teong kepada Buletin Mutiara.

Manakala ADUN Sungai Pinang ketika dihubungi menyatakan keadaan di kawasannya adalah terkawal.

img 9738

“Cuma dua kawasan terjejas iaitu di Jalan Thomas dan Lengkok Dumbar, pasukan saya memantau rapi di setiap kawasan dan kemaskini kepada saya,” ulasnya.

Di Desa Mayang, Bukit Gedung, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat diketuai Pengerusinya Md. Izzudin Idris turut bertungkus-lumus memastikan bekalan air sampai ke kawasan terlibat.

img 9735

“Lori tangki bergerak digerakkan ke kawasan perumahan bagi membantu penduduk-penduduk terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual ini.

“Kita harap semua kerja-kerja terlibat dapat diselesaikan segera, supaya bekalan air akan pulih dengan cepat demi keselesaan penduduk,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN/MPKK