Geran Mutiara Madani, bantu perkasakan gerakan koperasi

Admin
whatsapp image 2024 10 10 at 10.34.39

BARU-BARU ini Kerajaan Negeri melalui MMK Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi telah perkenalkan Geran Mutiara Madani berjumlah RM200,000 melalui Program Bantuan Pembangunan Bagi Pemerkasaan Gerakan Koperasi Negeri Pulau Pinang.

 

Menurut Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, FAHMI ZAINOL, program bantuan pembangunan tersebut diperkenalkan pada tahun 2021 dalam usaha melahirkan rakyat yang berdaya maju serta mempunyai pendapatan tinggi.

 

“Bermula tahun 2021 sehingga 2023, Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM1.2 juta kepada 122 koperasi yang berjaya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pulau Pinang.

 

(Dan) Geran Mutiara Madani yang diperkenalkan ini juga adalah sebahagian usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang membantu memperkasa pembangunan koperasi di negeri ini.

 

“Hal ini telah terbukti sebelum ini, yang mana perniagaan secara berkoperasi membantu meningkatkan sosio-ekonomi rakyat khasnya komuniti setempat.

 

“Maka, geran ini juga secara tidak langsung akan dapat meningkatkan ekonomi rakyat melalui gerakan koperasi,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Komtar pada 10 Oktober 2024.

 

Mengulas mengenai permohonan Geran Mutiara Madani, Fahmi memberitahu bahawa pihak koperasi boleh mendapatkan borang sama ada di Pejabat SKM Negeri Pulau Pinang atau di pejabat beliau di Komtar.

 

“Koperasi mestilah berdaftar di negeri Pulau Pinang dan mempunyai perancangan projek ekonomi berdaya maju.

 

Had maksimum adalah sebanyak RM5,000 bergantung pada jenis produk atau perniagaan yang dijalankan.

 

“Tarikh tutup permohonan adalah pada 30 Oktober 2024 ini yang mana koperasi yang layak menerima selepas proses saringan dan pertimbangan oleh Jawatankuasa Induk akan dihubungi,” katanya.

 

Difahamkan, Jawatankuasa Induk terdiri daripada Pejabat Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan SKM Negeri Pulau Pinang.

whatsapp image 2024 10 10 at 11.28.27

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, mempelawa semua koperasi yang memenuhi syarat untuk mengambil peluang memohon Geran Mutiara Madani.

 

“Saya mempunyai harapan yang tinggi terhadap kemampuan koperasi di negeri ini dan berpandangan bahawa koperasi di negeri ini juga berupaya memainkan peranannya sebagaimana koperasi-koperasi berjaya di luar negara.

 

Saya berharap segala rancangan dan strategi yang SKM aturkan dapat disambut baik oleh semua penggerak koperasi dan sama-sama kita melaksanakannya demi kesejahteraan sosial dan ekonomi semua.

 

“Saya juga berharap agar geran yang diterima ini akan diguna pakai sebaiknya untuk apa jua rancangan pembangunan dan pengurusan termasuk memiliki aset-aset untuk perkembangan koperasi pada masa hadapan,” jelasnya.

 

Perkembangan sektor koperasi

 

Bercakap mengenai perkembangan sektor koperasi di Pulau Pinang, Fahmi memaklumkan bahawa sehingga Jun 2024, terdapat 807 koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 16,648 orang dengan pencapaian perolehan mencecah RM287.3 juta.

 

Seiring dengan perkembangan semasa , gerakan koperasi telah memainkan peranan sebagai sektor ketiga yang membantu meningkatkan sosio-ekonomi anggotanya dan seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi.

 

“Koperasi-koperasi yang ada ini digalakkan untuk memberi fokus terhadap bidang keberhasilan utama aktiviti ekonomi seperti peruncitan, perkhidmatan kewangan, industri asas tani, perladangan, pembangunan hartanah, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan,” katanya.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING