BAHAGIAN Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (BKKM, JKNPP) melakar sejarah apabila diumumkan sebagai johan Pertandingan Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 di bawah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) bagi kategori Penyampaian Perkhidmatan baru-baru ini.
Kejayaan tersebut, membolehkan BKKM JKNPP yang diwakili oleh Kumpulan Funtastic menerima hadiah berupa wang tunai RM5,000 beserta trofi dan sijil penghargaan.
Susulan kejayaan itu, wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, LAW SUUN TING bertemu Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan), RAFEAH SIBIL di pejabat beliau bagi mencungkil rahsia di sebalik kemenangan tersebut.
Menurut Rafeah, kumpulan Funtastic menampilkan Projek Germ Buster Edu-Card Games : Germ Attack!, iaitu sebuah set kad permainan pendidikan keselamatan makanan yang memfokuskan pengetahuan mengenai keracunan makanan seperti bakteria yang menjadi faktor penyumbang, simptom keracunan makanan, amalan baik untuk elakkan keracunan makanan dan langkah kawalan serta penambahbaikan apabila terjadinya keracunan makanan.
Inovasi Germ Buster Edu-Card Games : Germ Attack! ini berfungsi sebagai alat pembelajaran kendiri (self-learning tool) dan alat bantuan mengajar (teaching aid tool) mengenai keselamatan makanan dengan cara menyeronokkan.
“Ia bertepatan dengan slogan kumpulan Funtastic iaitu ‘We Make Food Safety Learning More FUN!,” ujarnya memulakan bicara.
Mengulas mengenai set kad permainan pendidikan itu, Rafeah berkata idea tercetus semasa negara dilanda pandemik yang mana ketika itu aktiviti promosi keselamatan makanan tidak dapat dijalankan secara fizikal.
“Maka, kami mengambil inisiatif untuk menyediakan suatu medium pembelajaran yang menyeronokkan berkaitan keselamatan makanan yang semua untuk semua peringkat usia khasnya para pelajar sekolah.
Fokus set kad ini adalah maklumat-maklumat yang penting mengenai keracunan makanan.
“Sebelum ini, aktiviti promosi keselamatan makanan melibatkan kewangan, masa dan tenaga kerja yang tinggi, jadi hasil daripada beberapa sesi percambahan minda dan siri uji main (playtesting), maka terciptalah Germ Buster Edu-Card Games : Germ Attack! Ini,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.
Apabila bercerita mengenai cabaran yang dihadapi, Rafeah memberitahu bahawa cabaran utama adalah aspek menilai keberkesanan inovasi ini pada peringkat pelaksanaan.
“Sebagai contoh, jika kita mencipta mesin memasak automatik, keberkesanannya dapat dinilai secara langsung apabila mesin itu beroperasi dengan baik dan mampu memasak makanan secara efisien.
“Namun bagi inovasi kami ini, kejayaannya bukan hanya dinilai melalui keberkesanan kad permainan yang telah siap dicipta tetapi juga melalui sejauh mana para pelajar dapat memahami mesej keselamatan makanan yang disampaikan seterusnya meningkatkan kesedaran mereka mengenai isu ini,” katanya.
Selain itu, ulas Rafeah lagi, memastikan keseimbangan antara input teknikal dan elemen keseronokan supaya mesej keselamatan makanan sampai dengan cara menarik juga menjadi salah satu cabaran yang perlu ditempuh.
“Kami juga berdepan kekangan kepakaran dalam reka bentuk kad kerana semua ahli pasukan terdiri daripada Pegawai Teknologi Makanan sahaja.
“Jadi, kami banyak merujuk kepada beberapa kad permainan di pasaran bagi mendapatkan inspirasi dalam menambah baik penampilan kad permainan.
“Kini, kami mempunyai dua edisi bahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, insyaAllah jika ada peluang akan turut dikeluarkan dalam bahasa Mandarin serta Tamil.
“Menilai pemahaman pelajar juga agak mencabar kerana kami perlu mendapatkan maklum balas daripada pihak sekolah dan ini memerlukan perancangan rapi serta kerjasama daripada pihak sekolah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Kumpulan Funtastic, NOR IZWAN ISA menzahirkan pengharapan agar inovasi Germ Buster Edu-Card Games : Germ Attack! dapat digunakan secara meluas.
Bukan sahaja pada peringkat sekolah di Pulau Pinang, malahan di seluruh Malaysia.
Kami percaya hasil inovasi ini mempunyai potensi besar untuk memberi impak positif dalam meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan makanan dalam kalangan pelajar dan guru sekolah di seluruh negara.
“Pada masa sama, ia dapat membantu mengurangkan terjadinya keracunan makanan di sekolah,” katanya.
Bercakap mengenai pengkomersialan, Nor Izwan berharap Germ Buster Edu-Card Games : Germ Attack! dapat digunakan dengan meluas dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat umum khansya pengendali makanan.
“Kami berharap pembudayaan keselamatan makanan dapat diterapkan dengan lebih efisien dan betul dalam kehidupan seharian kita.
“(Dan) pastinya kami meletakkan harapan agar hasil inovasi ini dapat mengorak langkah ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan pertandingan inovasi di luar negara.
“Salah satu daripada pertandingan inovasi peringkat antarabangsa yang ingin kami sertai adalah Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEx) yang akan berlangsung pada 2 hingga 6 Februari 2025 sempena Thailand Inventors’ Day.
“Kami percaya dengan pendedahan dan pengiktirafan yang diberikan, hasil inovasi ini berpotensi menjadi rujukan untuk negara luar,” jelasnya.
Sebelum mengakhiri wawancara, Rafeah dan Nor Izwan menzahirkan penghargaan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang atas kerjasama yang amat baik sepanjang pelaksanaan sesi uji main (playtesting) di beberapa buah sekolah terpilih di negeri Pulau Pinang.
Sokongan ini sangat membantu kami dalam mendapatkan maklum balas yang berharga untuk mempertingkat kualiti inovasi kami.
“Selain itu, kami juga menghargai usaha JKNPP dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah menjemput kumpulan kami menyertai bengkel pemurnian projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baru, ini sangat bermakna dalam mengukuhkan usaha inovasi kami.
“Seterusnya, terima kasih atas peluang yang diberikan kepada kumpulan kami untuk menyertai Pertandingan Inovasi Negeri Pulau Pinang 2024 yang mana penglibatan semua pihak sama ada secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan projek ini, sangat kami hargai,” kata Rafeah yang juga merupakan penaung Kumpulan Funtastic.
Difahamkan, Kumpulan Funtastic dianggotai oleh sepuluh ahli. Selain Rafeah dan Nor Izwan selaku ketua, Kumpulan Funtastic turut dianggotai oleh Hamiza Othman; Mahanum Mahmud; Juliana Jaafar; Siti Anarita Mohamad; Khor Ruying; Muhammad Syamil Izwan Halili; Syairani Edlyana Dzulkifli dan Nur Alyaa Azhar.