GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) hari ini mengambil inisiatif mengadakan Program Pelancaran Gerobok Rezeki Pasca Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 bagi Masjid Negeri dan masjid-masjid daerah.
Matlamat utama program ‘Gerobok Rezeki’ ini adalah untuk golongan yang terkesan daripada segi pendapatan rentetan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika ditemui berkata, melalui program ini, masjid-masjid terlibat akan membeli barangan keperluan harian untuk diletakkan di masjid.
“Sebagai permulaan, sebanyak RM120,000 disalurkan untuk enam masjid utama (RM20,000 setiap masjid) membabitkan Masjid Negeri dan lima masjid di setiap daerah.
“Tujuannya adalah bagi meringankan bebanan mereka yang terjejas, jadi mereka boleh datang ke masjid-masjid ini dan ambil sendiri makanan keperluan yang disediakan.
“Sebenarnya program seumpama ini telah dimulakan di masjid-masjid lain walaupun sebelum COVID-19 lagi, tetapi kita usahakan juga kini melalui badan kerajaan,” ujarnya ketika hadir menyempurnakan pelancaran program tersebut di Masjid Negeri, baru-baru ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Pengarah JHEAIPP, Mohd. Zakuan Zakaria dan Imam Besar Masjid Negeri, Mohd. Nordin Samah.
Dalam pada itu, Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti mengalu-alukan penyertaan orang ramai melalui sumbangan derma bagi mengurangkan bebanan keluarga-keluarga terkesan melalui pelaksanaan program tersebut.
Difahamkan, pelaksanaan program ini mampu melatih masyarakat agar lebih berdisiplin dan mengambil barangan keperluan sekadar perlu sahaja.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD