Gesa KPKT tambah baik garis panduan STA, kekang tukar guna bangunan kediaman berstrata – Ahli Majlis

Admin

GEORGE TOWN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu segera menambah baik penguatkuasaan garis panduan penginapan jangka pendek (STA) bagi mengekang terjadinya tukar guna unit di bangunan kediaman berstrata tanpa kebenaran.

 

Perkara itu disuarakan oleh Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lee Kim Noor pada sesi ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 10/2021 yang diadakan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom Meeting pada 25 Oktober 2021.

 

Menurut Kim Noor, undang-undang mengenai STA di negeri ini adalah jelas sekali yang mana unit kediaman berstrata tidak boleh dijadikan sebagai Airbnb kecuali berlakunya tukar guna bangunan tersebut.

 

Sekiranya hendak menggunakan unit kediaman sebagai unit Airbnb, silalah beli unit komersial seperti apartmen servis (serviced apartment).

 

“Namun, baru-baru ini dalam suatu kes di Mahkamah Persekutuan (di ibu negara), ¾ tuan punya unit-unit apartmen servis mesti bersetuju barulah bangunan tersebut boleh dibuat penginapan jangka pendek,” ujarnya.

LEE Kim Noor.

Turut dibangkitkan adalah cadangan supaya kes-kes berkaitan tukar guna penginapan jangka pendek dan penguatkuasaannya di bawa ke Mahkamah Tribunal Pengurusan Strata.

 

Mahkamah Tribunal mempunyai bidang kuasa yang terhad namun Kerajaan Tempatan Pulau Pinang atau pihak Pesuruhjaya Bangunan (COB) boleh bawa perkara ini ke KPKT agar bidang kuasa dapat diperluaskan terutama berkaitan penginapan jangka pendek di bangunan yang tidak sesuai.

 

“(Dan) melalui cara ini, para penghuni di banggunan kediaman berstrata dapat tidur dengan nyenyak tanpa perlu bimbang akibat sewaan Airbnb di unit bersebelahan.

 

“Tambahan pula dalam situasi wabak COVID-19 yang mana ada pihak menyewa unit Airbnb tersebut sebagai tempat kuarantin selain daripada masalah kebisingan, sampah dan kerosakan harta bersama,” katanya.

MESYUARAT Biasa Majlis yang dipengerusikan oleh Ar. Yew Tung Seang.

 

Dalam sesi sama, Kim Noor turut memuji inisiatif terkini yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa tempatan itu, iaitu platform ‘i-Temu’, sistem janji temu bagi pelawat yang ingin berurusan dengan jabatan-jabatan berkaitan dalam MBPP.

 

“Namun, kaedah tersebut (sedikit-sebanyak) menghalang keupayaan pembayar cukai (ratepayer) kerana terpaksa berbelanja untuk membeli kit ujian pantas.

 

“Maka, saya ingin mencadangkan inisiatif tambahan kepada platform (i-Temu) tersebut yang mana pembayar cukai boleh memilih untuk menggunakan talian hotline, emel, panggilan video melalui (aplikasi) WhatsApp atau (mesej) WhatsApp.

 

“Setiap pilihan mestilah diberikan nombor rujukan aduan dan nama pegawai yang terlibat beserta emel.

 

“Saya tahu bahawa semua ini telah disediakan namun indikator setiap aduan tidak diberikan perhatian sewajarnya,” jelasnya.

Terdahulu, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis secara telesidang yang turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis, barisan ketua jabatan dan pegawai kanan berkaitan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN & MBPP