Gesa Pusat tunai janji bina semula sekolah 66 tahun

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

AIR ITAM – Kerajaan Persekutuan digesa memenuhi janji bagi membina semula Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ramakrishna (SJKT) berusia 66 tahun dengan kos pembinaan berjumlah RM3.5 juta pada kadar segera.

Gesaan tersebut disuarakan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo ketika lawatan beliau bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng ke sekolah tersebut barubaru ini di sini.

Jagdeep berkata, sebelum ini, bangunan sekolah tersebut telah diisytiharkan tidak selamat diduduki oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Disember lalu.

“Buat masa ini, pihak pengurusan (sekolah) menggunakan dewan sebagai alternatif penyelesaian dengan membahagikan kepada enam bilik darjah kerana salah satu dari puncak bumbung sekolah telah rosak dan tidak stabil serta mampu mendatangkan bahaya kepada pelajar.

“Agak sukar dan tidak selesa untuk para pelajar yang terpaksa berkongsi dewan.

“Justeru, saya menggesa agar pihak bertanggungjawab mengotakan janji mereka secepat mungkin untuk membina sekolah ini,” katanya pada sesi lawatan khas di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pemangku Presiden Asrama Ramakrishna, Dr. A .Subramaniam.

Bangunan baru SJK (T) Ramakrishna bakal mempunyai 18 kelas bilik darjah dengan penambahbaikan menjadikan ia lebih besar berserta kemudahan lebih baik.

Dalam pada itu, sebagai tindakan lanjut, Subramaniam menyatakan bahawa pihaknya akan menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan berhubung kes berkenaan.

“ Tujuannya adalah untuk ‘mengingatkan’ kembali tentang pembinaan yang telah dijanjikan.

“Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah mengumumkan projek pembinaan semula sekolah yang mengambil jangka masa selama sembilan bulan untuk disiapkan bermula April lalu,’’ tegas beliau.