GI jangka pasaran IT negara cecah RM61.9 bilion

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Gartner Incorporated (GI) berpendapat pasaran teknologi maklumat (IT) negara dijangka meningkat sebanyak 6.4 peratus menjadi RM61.9 bilion bagi tahun ini, berbanding tahun sebelumnya.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa merasmikan pembukaan seminar Gartner Asia Pacific (APAC) Local Briefing berharap perkembangan terbaru itu sekaligus turut memberi manfaat di negeri ini.

“Saya sangat mengalualukan semua pelabur yang hadir ke seminar ini…(kerana) Pulau Pinang memang menuju ke arah negeri (berorientasikan) IT,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih di sini baru-baru ini.

Naib Presiden Khidmat Nasihat GI (Singapura), Derek Seow dan Andrew Phillips (Naib Presiden Pengurusan Penyelidikan GI) turut serta dalam sidang media tersebut.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Kerajaan Negeri yakin perkembangan industri IT di negeri ini mampu memangkin pada kejayaan kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat nanti.

Sebelum itu, Derek Seow berkata, jangkaannya itu berdasarkan unjuran pada perkembangan perkhidmatan telekomunikasi (talian tetap, mudah alih dan data), peranti (telefon pintar, komputer peribadi dan pencetak) perkhidmatan, perisian serta sistem pusat data (pelayan, penyimpanan, IT dan peralatan rangkaian) di negara ini.

Justeru, Derek Seow berkata, keperluan pada elektronik pintar serta aksesori berkaitan akan mewujudkan sebuah industri IT yang lebih dinamik dengan anggaran pelaburan kira-kira AS$10 bilion menjelang tahun 2016.

“Hasil daripada peralatan elektronik pintar terpakai dianggarkan AS$4.2 bilion tahun lalu.

“Lebihan hasil bagi perlatan elektronik pintar terpakai ini merangkumi peralatan kecergasan, prestasi sukan, komunikasi dan penjagaan kesihatan serta aplikasi produktiviti dan pemasaran,” katanya pada sidang media yang sama.

Tambah Derek, perbelanjaan global bagi penggunaan internet termasuk alat-alat teknologi dengan keupayaan interaktif dan mesra alam dijangka akan mencapai nilai AS$1.9 trilion menjelang tahun 2020.

“Ini akan memberi manfaat kepada penggerak industri dalam bidang kesihatan, runcit dan pengangkutan,” tambah beliau.

Sementara itu, Andrew Phillips pula menggesa penggiat industri berwajib supaya berhati-hati dengan kecenderungan melabur dalam percetakan tiga dimensi (three-dimensional printing – 3D).

“Ia akan menjadi suatu harapan yang tinggi ke arah peningkatan teknologi yang lebih baik, namun, ia masih mempunyai risiko.

“Ia juga akan memberi peluang kepada GI untuk menyediakan laporan yang lebih baik dan interaktif kepada pelabur kelak,” jelasnya.

GI merupakan syarikat penyelidikan dan khidmat nasihat terkemuka dunia berkaitan IT yang berpengkalan di Singapura.

Syarikat antarabangsa itu memulakan operasinya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sejak 10 tahun.

Pun begitu, difahamkan, GI dilihat kian berkembang maju sejak empat tahun lalu dengan hasil keuntungan yang dianggarkan kira-kira 300 peratus.