Goji rahsia resepi CMR

Admin

 

EMPAT chef CMR yang berasal dari negara China menunjukkan tanda bagus.
EMPAT chef CMR yang berasal dari negara China menunjukkan tanda bagus.

TEKS & GAMBAR OLEH : KHAIROL IKRAM SALAMAT

Sebagaimana rakyat Malaysia ketahui, Pulau Pinang merupakan sebuah lokasi syurga makanan. Pelbagai sajian serta hidangan menjadikan negeri ini cukup gah d alam kalangan pelancong. Antaranya, nasi kandar adalah hidangan yang sangat sinonim dengan Pulau Mutiara sejak dari zaman penjajahan Portugis lagi dan pengusahanya kini turut diiktiraf sebagai sajian warisan oleh pihak UNESCO. Namun, tinjauan eksklusif kali ini ingin memaparkan suatu kelainan serta variasi makanan baru yang terdapat di kawasan Bayan Baru.

Cina Muslim Restaurant (CMR) menjanjikan suatu kelainan sajian yang istimewa kepada para pengunjungnya. Restoran ini setia menanti mereka yang ingin mencuba pelbagai sajian dari negara China tanpa perlu menempuh penerbangan yang berjam-jam untuk ke sana. Demi memastikan keaslian sajian dan hidangan ini, pihak pengurusan restoran telah mendapatkan empat orang chef muslim yang bertauliah dari negara China. Ini menjamin setiap pengunjung dan pelanggan menikmati kelazatan sejati dari negara republik tersebut.

SUP buah goji.
SUP buah goji.

Restoran ini telah dibuka pada suku ke-4 tahun 2010 oleh dua orang sahabat yang bukan dari bidang kulinari bersama seorang rakyat China. Ong Keok Liang, 52 dan Hashim Ismail, 47 merupakan anak tempatan dari sektor kejuruteraan perkilangan telah bersepakat untuk menubuhkan restoran ini dan akhirnya menjadi kenyataan selepas 12 kali berulang-alik ke seluruh pelusuk China untuk mencari tukang masak muslim dari China. Dengan bantuan rakan kongsi dari negara republik itu, Gao Min, 39, akhirnya mereka telah berjaya menyakinkan seorang chef muslim dari Wilayah Autonomi Muslim Ning Xia.

Pelbagai cabaran yang dihadapi untuk mengekalkan idea utama makanan halal di restoran yang telah beroperasi selama 7 bulan ini. Menurut Ong, mereka juga telah berulang-alik ke Putrajaya dan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan “restu” sebelum memulakan perniagaan.

Segala halangan dan cabaran adalah sangat berbaloi kerana akhirnya membuahkan hasil”, kata Ong.

BUAH Goji.
BUAH Goji.

Menurutnya, Buletin Mutiara adalah yang pertama mengadakan tinjauan di CMR selepas beberapa kali menolak pelawaan media lain kerana belum bersedia.

Pihak pengurusan CMR baru sahaja bersedia untuk menyiarkan iklan kerana lebih yakin selepas mempunyai 4 orang chef muslim dari China untuk menyediakan hidangan”, jelasnya lagi.

Menu yang menjadi ikon kepada CMR adalah Xi Xia Batang Pinang Kambing Goreng. Permintaan terhadap menu ini menjadi pilihan utama kepada kebanyakan pengunjungnya.

Hidangan di CMR banyak menggunakan rempah ratus yang pasti mengeluarkan aroma memikat setiap pelanggannya.

Penggunaan rempah ini menepati citarasa tempatan kerana Pulau Pinang sendiri terkenal dengan rempah-ratusnya sejak berkurun lamanya.

Di China, segala hidangan dimasak dalam suatu kuantiti yang besar dan satu saiz. Perkara ini pada mulanya menjadi sedikit kesulitan kepada chef muslim ini kerana tidak biasa masak dalam kuantiti yang kecil. Namun perkara ini telah dapat diatasi sedikit demi sedikit dan kini kesemua chef berjaya menyesuaikan diri dengan cara masakan kuantiti ala tempatan”, tambahnya.

GAO Min (kiri) dan Ong Keok Liang.
GAO Min (kiri) dan Ong Keok Liang.

Masakan di CMR banyak mengunakan buah goji (Gou Ji atau Wolfberry China) yang sangat berkhasiat dan dapat digunakan untuk merawat tubuh yang lemah, memperbaiki penglihatan, dan memanjang usia. Goji baik untuk memelihara ginjal dan hati, bermanfaat bagi paru-paru, dan memperbaiki penglihatan. Perubatan tradisional Tiongkok di China menggunakan buah goji untuk menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan hati, ginjal dan impotensi, otot sakit pada pinggang dan lutut, sakit kepala, pusing, penglihatan kabur, kelebihan air mata, kelelahan, batuk, haus, dan mani encer.

CMR juga menerima tempahan untuk majlis keraian seperti perkahwinan dan sambutan harijadi di premis restoran yang mempunyai 2 tingkat ini. Lokasi di Bangunan D’Piazza Mall, Bayan Baru, CMR mampu menampung 250 orang pelanggan pada satu masa. Pelanggan boleh memilih tempat berhawa dingin di bahagian atas yang boleh menampung 160 hingga 180 orang bagi mengadakan sebarang majlis peribadi disamping ruang makan di bawah.

Kepada mereka yang ingin mencuba makanan halal China ini, anda sangat dialu-alukan tanpa sebarang rasa was-was kerana CMR telah diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai penyedia makanan halal.

Untuk tempahan dan keterangan lanjut, bolehlah menghubungi CMR di talian 04-6443718 atau 016-5531423.