Golongan B40 dan pengusaha IKS tempatan terus dibantu

Admin

PADANG KOTA – Pihak-pihak yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 terus mendapat bantuan daripada Kerjaaan Negeri Pulau Pinang.

Terbaru, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota melaksanakan inisiatif serampang dua mata untuk membantu golongan berpendapatan terendah (B40) serta pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan yang merupakan golongan paling terjejas.

Ketua Menteri menyampaikan beg bantuan kepada salah seorang penerima yang layak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar inisiatif tersebut dapat dijadikan contoh dan ikutan oleh JPWK lain serta pihak-pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

“Melalui sumbangan yang diberikan ini, kita dapat membantu para pengusaha IKS dengan membeli produk-produk mereka sebagai satu sokongan dan galakan kepada golongan berkaitan.

“Barangan yang dibeli daripada IKS khususnya wanita dijadikan sebahagian bakul bantuan untuk diagihkan kepada golongan B40 yang terkesan.

“Sebanyak 63 keluarga akan menerima beg makanan berisi keperluan harian seperti beras, minyak dan pelbagai lagi.

“Bagaimanapun, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hanya 10 wakil akan menerima pada majlis hari ini sebagai tanda simbolik,” ucapnya sebelum menyampaikan bantuan kepada pihak berkaitan dekat Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota di sini sebentar tadi.

Bergambar kenangan-kenangan bersama anggota-anggota JPWK KADUN Padang Kota.

Hadir sama, Pengerusi JPWK KADUN Padang Kota, Yeoh Phaik Suan; Pengarah Parlimen Tanjong, Lau Keng Ee serta ahli-ahli jawatankuasa JPWK KADUN Padang Kota.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa inisiatif yang dilaksanakan tersebut adalah melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3,465.

“Ini merupakan inisiatif yang sangat bermakna, dan saya berharap agar JPWK KADUN Padang Kota terus memainkan peranan mendekati golongan terkesan supaya kita dapat menunjukkan keprihatinan dalam masa yang mencabar ini,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI