Golongan OKU dipelawa rebut peluang pekerjaan, jom sertai Jobs Fair Disember ini

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy menyeru majikan di sektor kerajaan dan swasta agar membuka peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Jelasnya golongan tersebut tidak harus dipinggirkan kerana mereka masih memiliki kepakaran tertentu yang boleh dimanfaatkan oleh majikan dan organisasi.

“Kalau nak bercakap tentang kesempurnaan, kita (yang normal) pun sebenarnya tidak sempurna, bukan semua perkara kita pakar dan tahu… jadi begitulah juga dengan golongan OKU.

“Ada di antara mereka juga mempunyai kelulusan tinggi walaupun mungkin ada kekurangan dari segi fizikal, namun jawatan tertentu boleh diberi dan dibuka peluang untuk diisii oleh mereka,” ujar beliau pada sidang media OKU Job Fair di Komtar hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME) Seberang Perai, Francis Wong; Bendahari Persatuan SME Seberang Perai, Leong Yook Kheong; dan Penolong Pendaftar Kolej IPK, ‘Aeisyah Ahmad Khairul.

Mengikut maklumat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan bahawa kira-kira 487,000 dari keseluruhan penduduk Malaysia merupakan golongan OKU.

Justeru, Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi  mempelawa golongan OKU yang sedang mencari pekerjaan untuk hadir ke OKU Jobs Fair yang akan berlangsung pada 7 hingga 8 Disember ini bertempat di Setia SPICE Convention Centre, Bayan Baru dari jam 11 pagi hingga 6 petang.

Difahamkan sebanyak 20 majikan bersedia untuk menerima mana-mana golongan OKU yang berkelayakan untuk bekerja.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, boleh hubungi talian 017-449 4413 atau emelkan kepada [email protected].

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG