ALMA – Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Begitulah semangat kemasyarakatan yang ditonjolkan bersempena dengan penganjuran aktiviti gotong-royong yang diadakan di Kampung Kijang di sini baru-baru ini.
Bertemakan ‘Kebersihan Amalan Mulia’, program anjuran Ahli Jawatankuasa Surau Kampung Kijang dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan komuniti (JKKK) Alma/Bukit Minyak tersebut dilancarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubok, Tan Hock Leong. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang.
Setiausaha JKKK Alma/Bukit Minyak, Umi Kalsum Nayan berkata, selain menjaga kebersihan kampung, anjuran program yang julung kali diadakan ini adalah bagi mengeratkan ikatan silaturahim antara penduduk kampung dan juga para pemimpin.
“Seawal pukul 7.30 pagi, para penduduk kampung telah mengambil inisiatif khas untuk membanting tulang membersihkan seluruh kawasan kampung. Kesemua jalan-jalan kecil di kawasan sekitar kampung telah dibersihkan dan keadaan laluan utama yang berlopak turut ditambun dengan tanah serta batu,’’ katanya kepada SUARA CAT di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, bersempena dengan penganjuran program berkenaan, Hock Leong turut mengadakan lawatan untuk memantau longkang dan sangkar batu yang dibina di tebing sungai bagi mengelak hakisan serta bencana banjir. Pembinaan struktur tersebut adalah hasil sumbangan Choo Kiang.
PARA penduduk kampung bertungkus-lumus mengambus keadaan jalan yang berlopak di sini.