GRB memperkasakan wanita Pulau Pinang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

LYDIA Ong Kok Fooi (kanan sekali) ditemani wakil KANITA, Aloyah Bakar (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta Bengkel Latihan Memandu GRB di sini baru-baru ini.
LYDIA Ong Kok Fooi (kanan sekali) ditemani wakil KANITA, Aloyah Bakar (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta Bengkel Latihan Memandu GRB di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Dalam usaha untuk terus memperkasakan golongan wanita, Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memperuntukkan RM1.8 juta setiap tahun bagi pelaksanaan Gender Responsive Budgeting (GRB) atau Bajet Responsif Gender sebagai salah satu Projek Perdana (Flagship Project) di bawah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Secara relatifnya, GRB yang bakal dilaksanakan bagi tempoh tiga tahun itu adalah suatu konsep pembangunan yang bertujuan memasukkan perspektif gender dalam bajet dengan mengambil kira keperluan dan kepentingan
kumpulan penduduk berbeza.

Malah, pada masa sama, ia bertujuan mengagihkan sumber kerajaan secara saksama agar memenuhi keperluan semua lapisan rakyat.

Di Malaysia, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang mengorak langkah melaksanakannya. Malah, pada peringkat global, lebih 60 buah negara antaranya di India, Filipina, Australia, Norway dan Sweden telah menjalankan program berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi dalam ucapan perasmian Bengkel Latihan Memandu GRB di sini baru-baru ini berkata, GRB mengambil kira perbezaan dalam situasi, peranan, sumbangan serta keperluan antara lelaki dan perempuan yang seterusnya mengambil tindakan mengikut kesesuaian setelah menilai impak bajet tersebut.

“Selain itu, GRB juga menginstitusikan pelaksanaan serta pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan (Pihak Berkuasa Tempatan) sama ada melalui dialog, pengumpulan data yang sistematik dan bengkel latihan,’’ jelas beliau.

Hadir sama pada bengkel tersebut, tenaga pelatih undangan Profesor dan Pengarah KANITA, Datin Profesor Dr. Rashidah Shuib; Penasihat Projek GRB, Dr. Cecilia Ng Choon Sim; Setiausaha Perbandaran MPSP, Rozali Mohamud; Pengarah Perbendaharaan MPSP, Hairay Md. Yusof; ahli jawatankuasa KANITA, Profesor Madya Dr. Intan Osman dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Dr. Lilis Surienty Abd. Talib serta ahli jawatankuasa PWDC.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PWDC di www.pwdc.org.my atau hubungi Pejabat PWDC di talian 04 – 226 2261.