GEORGE TOWN FESTIVAL (GTF) merupakan festival tahunan yang meraikan kepelbagaian seni dan budaya di negeri ini merangkumi tarian, muzik, teater, seni visual, filem, fotografi, fesyen dan banyak lagi.
Saban tahun penganjuran, GTF telah berkembang menjadi acara berprestij yang bukan sahaja menghubungkan penggiat seni dan budaya tetapi juga peminat serta pengunjung yang mengagumi kreativiti dan keunikan seni budaya tempatan.
Membawa tema ‘A Festival for Everyone’, penganjuran GTF tahun ini pastinya menjadi saat yang ditunggu-tunggu. Wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, ALISSALA THIAN mendekati ‘orang kuat’ di sebalik penganjuran festival yang cukup signifikan ini.
JACK WONG, Pengarah Festival ketika ditemui berkata, edisi tahun ini merupakan edisi ke-13 penganjuran GTF.
Kali pertama dianjurkan, diurus dan dikendalikan di bawah TLM Event Sdn. Bhd. adalah pada tahun 2019 yang mana kami membawa pengalaman baharu dengan menjadikan seni dan budaya boleh dinikmati oleh semua tanpa mengira etnik mahupun latar belakang.
“Sejajar dengan laungan Visi Penang2030 yang mementingkan kekeluargaan, program dan acara yang diatur juga sebahagiannya adalah untuk seisi keluarga,” ujarnya membuka bicara.
GTF pertama kali dianjurkan pada tahun 2010 dan menjadi festival tahunan bagi meraikan pengiktirafan bandar raya George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Tahun ini, kata Jack Wong, pihaknya mengumpulkan ramai bakat-bakat seni tempatan untuk mempamerkan keunikan seni dan budaya negeri Pulau Pinang.
“Sejak bulan Disember tahun lalu, pihak kami telah memulakan perancangan dengan menyusun atur program serta acara sepanjang penganjuran GTF pada 9 hingga 24 Julai ini.
Tahun ini juga sekali lagi kami akan menampilkan ‘The Senses’ sekali lagi di The Habitat Bukit Bendera (Curtis Crest) yang mana tiket setakat ini telah terjual hampir 80 peratus.
“Selain itu, ada juga persembahan teater seperti ‘makyung’ dan boneka Teochew; persembahan muzikal kanak-kanak (di Majestic Theatre) serta persembahan opera yang akan diadakan di Cheong Fatt Tze Mansion atau lebih dikenali sebagai The Blue Mansion.
“Semua persembahan ini adalah persembahan bertiket yang boleh dibeli melalui laman sesawang GTF (htpps://georgetownfestival.
Menurut Jack Wong, GTF 2022 turut menyajikan aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama rakan-rakan mahupun keluarga.
“Antaranya persembahan tradisional Melayu kontemporari yang diilhamkan oleh makyung dan ‘Main Puteri’; sesi tayangan; bengkel; kelas muzik berkonsepkan musim panas; pameran kesenian di Hin Bus Depot dan pameran fotografi.
Paling menarik adalah tayangan filem pendek selama 90 saat (setiap filem) daripada finalis yang dipilih dari 69 negara yang menyertai kali ini.
“Tayangan filem pendek edisi kedua ini akan dilangsungkan di rumah klan penuh sejarah, Cheah Kongsi di tengah-tengah Tapak Warisan Dunia.
“Di lokasi sama juga akan diadakan tayangan filem Perancis, ‘Dilili à Paris’ hasil kerjasama dengan Le French Film Festival.
“Tidak dilupakan kartunis tempatan kita, Azmi Hussin yang akan melancarkan karya terbarunya ‘Tanjong Life : Back to 90’s’ susulan kejayaan edisi sebelumnya (Tanjong Life : The New Norm, 2021).
“(Dan) semua acara menarik ini adalah sebahagian daripada 100 acara dan program yang diaturkan secara percuma untuk memastikan semua orang dapat menikmati sesuatu sepanjang penganjuran GTF 2022 kali ini,” ulasnya lanjut.
Menggalas visi untuk menjadi festival terbaik di rantau Asia Tenggara, penganjuran GTF 2022 juga, kata Jack Wong adalah untuk membantu artis dan penggiat seni mempromosikan serta memasarkan hasil karya masing-masing.
Misalnya, acara berkaitan fesyen ‘Art of Orient Garden’ akan membawa pengunjung melihat sendiri rekaan pereka fesyen tempatan berilhamkan kehijauan dan keindahan Pulau Mutiara.
“Rekaan pereka-pereka yang mengambil bahagian ini juga akan dijual kepada pengunjung di tapak festival, Queensbay Mall nanti,” katanya yang berharap orang ramai dapat memberi sokongan kepada produk dan karya penggiat seni tempatan, amnya.
Sebelum mengakhiri bicara, Jack Wong berkata GTF adalah produk Pulau Pinang dan hanya terdapat di Pulau Pinang sahaja.
“Oleh itu, beramai-ramailah hadir ke acara yang dianjurkan sepanjang festival ini, segala maklumat berkaitan tarikh, lokasi dan masa tertera dalam laman sesawang kami atau di Facebook.
“Jumpa anda semua di George Town Festival 2022 nanti,” serunnya.
Sebagai rekod, pada tahun 2020, penganjuran GTF dibatalkan akibat pandemik COVID-19. Manakala, pada tahun 2021, GTF diadakan secara hibrid dalam skala kecil dan terkawal.