GTGTZ atasi impak stigma dan diskriminasi ODHA

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri  amat mengambil berat terhadap kes jangkitan HIV dan penyakit AIDS yang masih lagi menjadi suatu isu kesihatan awam di dunia dan tidak terkecuali dalam negara.

 

 

Selaras itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan sokongan terhadap program-program khasnya, George Town Getting To Zero (GTGTZ) demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat negeri Pulau Pinang secara keseluruhan.

 

 

“Langkah ini juga merupakan tonggak penting dalam mencapai Visi Penang 2030 dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang sihat dan berdaya tahan.

 

 

“Dengan usaha bersama menuju “sifar jangkitan baru HIV” menjelang tahun 2030, kita bukan hanya memastikan kesihatan individu, malah juga menyumbang kepada pembangunan sosial yang komprehensif di negeri ini.

 

 

“Seperti yang disebut oleh YB Exco sebentar tadi, sebanyak 70.2 peratus daripada kes jangkitan HIV baru adalah melibatkan golongan muda dalam kumpulan umur dari 13 hingga 39 tahun, dan perkara ini adakah sangat membimbangkan di peringkat Kerajaan Negeri kerana hakikatnya, golongan muda adalah masa depan negara,” ujarnya sempena Majlis Perasmian George Town Go To Zero di sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pegawai Daerah Timur Laut merangkap Pengerusi GTGTZ, Rosli Halim; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Fazilah Shaik Allaudin dan Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut, Dr. Rozaini Mohd. Shah.

 

 

Kon Yeow dalam pada itu menyatakan bahawa beliau sedar stigma serta diskriminasi masih menjadi halangan besar dalam mencapai kesejahteraan kesihatan individu dan masyarakat, terutamanya apabila melibatkan jangkitan HIV serta AIDS.

 

 

Tambah beliau, individu yang mengalami stigma dan diskriminasi akan terdedah kepada risiko halangan akses kepada perkhidmatan kesihatan serta penangguhan rawatan yang mampu memberikan kesan negatif dalam kesejahteraan mental dan juga emosi.

 

 

“Malah, saya juga sedar bahawa pembawa HIV juga akan mengalami pemisahan sosial dalam kalangan masyarakat atau komuniti yang akan merencatkan proses perawatan dan pemulihan sosial dalam kalangan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA).

 

 

“Oleh yang demikian, saya amat berbangga dengan pelaksanaan GTGTZ ini yang merupakan satu inisiatif murni bagi mengatasi impak stigma dan diskriminasi melalui pelbagai aktiviti pendidikan kesihatan serta galakan budaya inklusif dalam masyarakat, yang seterusnya diharapkan dapat meruntuhkan stereotaip dan mencipta persekitaran yang mana ODHA merasa diterima dalam masyarakat.

 


“Maka dengan itu, besarlah harapan saya agar inisiatif GTGTZ ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada semua pihak, tidak kira daripada sektor awam, sektor swasta mahupun masyarakat awam di negeri Pulau Pinang,” ulasnya lanjut.

 

 


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI