BAGAN JERMAL – Mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, beliau berharap peratusan kadar kitar semula di negeri Pulau Pinang mencapai 60 peratus menjelang tahun 2030.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata demikian semasa merasmikan Pusat Kitar Semula Taman Kerapu Butterworth di sini pada 14 Disember 2024.
“Peratusan kadar kitar semula (di negeri Pulau Pinang) adalah kira-kira 57 peratus.
“Jadi kita (kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan, PBT) perlu meletakkan sasaran, menjelang tahun 2030 sekurang-kurangnya (kadar kitar semula mencapai 60 peratus,” jelasnya dalam majlis berkaitan.
Di samping itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut berharap bahawa kedua-dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan terus memimpin pencapaian dari segi pengalaman dasar pengasingan sisa di punca, pada peringkat komuniti lokal.
Berucap sebelum itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, pengamalan dasar pengasingan sisa di punca pada semua peringkat komuniti penduduk akan membantu usaha mengurangkan penjanaan sisa akhir yang akan dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Pulau Burung dekat Daerah Seberang Perai Selatan.
Menurutnya lagi, saban tahun kira-kira RM130 juta atau lebih separuh daripada hasil tahunan MBSP dibelanjakan untuk pengurusan sisa akhir yang dibawa ke pusat pelupusan sampah negeri tersebut.
“Perbelanjaan sebegini bukanlah berhemah kalau nak dibandingkan dengan (pengurusan sisa pepejal di beberapa PBT dekat) Singapura atau Jepun.
“Sepatutnya RM130 juta yang dihanguskan untuk pengurusan sampah sarap ini, dibelanjakan untuk menyediakan infrastruktur rakyat yang lain seperti jalan raya, dewan orang ramai dan pasar awam,” jelasnya lagi.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa tiap-tiap hari warga penduduk Seberang Perai menjana kira-kira 2,000 tan metrik sisa akhir ke TPS Pulau Burung serta memerlukan perbelanjaan maksimum MBSP sebanyak RM1.3 juta setiap bulan.
Sementara itu, ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen dalam ucapannya turut memuji Ahli Majlis bagi MBSP, David Ng Yee Siang atas usaha mewujudkan pusat kitar semula di Taman Kerapu Butterworth di sini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR