Guan Eng mengaku tidak bersalah lupus harta kerajaan

BAGAN JERMAL – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada pagi tadi mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan baharu berkaitan pelupusan harta milik Kerajaan Negeri bernilai RM208.7 juta kepada dua buah syarikat.

Pengakuan itu dilafazkan di depan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Guan Eng, 60, meminta dibicarakan bagi kesalahan melupuskan tanah milik Kerajaan Negeri di Bandar Tanjong Pinang dekat Daerah Timor Laut, yang didakwa berlaku pada 17 Februari 2015.

Satu daripada dua bidang tanah tersebut yang bernilai lebih RM135 juta didakwa dilupuskan kepada syarikat Ewein Zenith Sdn. Bhd. dan sebidang lagi bernilai lebih RM73.7 juta didakwa dilupus kepada syarikat Zenith Urban Development Sdn. Bhd..

Setiausaha Agung DAP itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun maksimum, sebat serta denda, jika disabitkan bersalah.

Dalam sidang media selepas itu, Guan Eng memberitahu bahawa terdapat empat percanggahan dalam dua pertuduhan baharu pada pagi tadi dan tidak menolak kemungkinan bahawa dua pertuduhan baharu pada hari ini bermotif politik serta mempunyai kaitan dengan musim kempen Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijadual pada hari esok.

Sebelum itu, kira-kira 10.42 pagi tadi, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan diiringi isteri, Betty Chew Gaik Cheng dan bapa, Lim Kit Siang serta Gobind Singh Deo (peguambela merangkap Ahli Parlimen Puchong, Selangor) tiba di perkarangan luar Mahkamah Sesyen Butterworth.

Mereka disambut oleh kira-kira 50 penyokong dengan sorakan serta kain rentang ‘Solidariti Bersama-sama Lim Guan Eng’.

Turut hadir untuk memberi sokongan, antaranya, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; Teh Lai Heng (ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri YAB Tuan Chow Kon Yeow); ADUN Bagan Dalam, M. Satees; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan); Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD