Guan Eng mengaku tidak bersalah menerima suapan RM3.3 juta berhubung projek terowong bawah dasar laut

Admin

BAGAN JERMAL – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pagi tadi mengaku tidak bersalah kes tuduhan menerima suapan kira-kira RM3.3 juta yang dikaitkan dengan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong bawah dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Tertuduh mengaku selepas pertuduhannya dibacakan di depan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Guan Eng, antara bulan Januari 2011 dan bulan Ogos 2017, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di dalam daerah Georgetown, di dalam Negeri Pulau Pinang, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukan kamu untuk suapan bagi dirinya sendiri, iaitu wang berjumlah RM3,300,000.00, dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Dato’ Zarul Ahmad Bin Mohd. Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama Dan Terowong Di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib manakala Guan Eng diwakili peguam, Gobind Singh Deo dan
Ramkarpal Singh.

Jumaat lepas, Guan Eng turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Dia kemudian dibenarkan ikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin oleh mahkamah sesyen Kuala Lumpur.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB