Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Pasti sesetengah pihak berasa janggal apabila Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) berkongsi pentas bersama-sama pemimpin Pakatan Harapan (PH) mempromosikan Deklarasi Rakyat.
Namun, menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, berlandaskan matlamat yang sama, tiada yang mustahil.
“Ini merupakan satu keperluan untuk mengenepikan perbezaan demi kebaikan yang lebih hebat, apatah lagi apabila negara kita kini berada dalam krisis moral, politik dan ekonomi.
“Saya tahu, ramai yang masih ragu-ragu dan memandang sinis terhadap Deklarasi Rakyat kerana mereka ingin tahu langkah seterusnya selepas ‘menewaskan’ Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak).
“Di sinilah peranan Tun M memberikan sedikit penjelasan dan jawapan, lagipun, tidak ada Perdana Menteri dalam sejarah, termasuk Tun M sendiri akan membiarkan negara ‘menjunam’ ke dalam jurang yang dalam.
“Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?,” ujarnya ketika mengakhiri ucapan pembukaan pada Forum Quo Vadis Malaysia? (Ke manakah Hala Tuju Malaysia?) di Pusat Konvensyen Straits Quay pada 8 Mei lalu.
Hadir sama, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali (isteri Tun M), Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari; Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Ahli Lembaga Pengarah Penang Institute, Steven Sim Chee Keong dan beberapa kenamaan lain.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut hadir sebagai moderator forum.
Tun M ketika menyampaikan ucaptama menyentuh beberapa isu antaranya, skandal RM50 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan).
Dalam pada itu, beliau turut mengakui kepentingan mempunyai parti pembangkang di Malaysia dalam memastikan kerajaan yang memerintah sentiasa ‘checks and balances‘ (semak dan imbang).
“Tidak kira sama ada kerajaan memerintah mahupun pembangkang mempunyai matlamat yang sama, iaitu memastikan mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Namun, perbezaan yang wujud antara kerajaan memerintah dan pembangkang menjadi cerminan, jika tidak ada pembangkang, kita tidak tahu betapa ‘hodoh’nya cara pemerintahan kita.
“Samalah ketika saya jadi perdana menteri dahulu, saya tidak disukai oleh orang kuat pembangkang seperti Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng, saya dengar apa mereka kata, tapi kadang-kadang saya tulikan telinga.
“Tetapi, jika apa yang mereka katakan itu baik, saya akan memplagiatnya dan menjadikannya ‘milik’ saya,” katanya berseloroh sambil disambut dengan tepukan gemuruh dan gelak ketawa.
Tambah Tun M, pada dasarnya, sistem demokrasi memberi hak kepada rakyat untuk memilih pemimpin sendiri dan jika tidak disukai, rakyat boleh menggulingkan pemimpin tersebut.
“Oleh itu, sama-samalah kita menandatangani Deklarasi Rakyat dan tunjukkan sokongan demi menyelamatkan negara tercinta,” ujar beliau.
Kira-kira 1,500 peserta menyertai forum yang julung kali dianjurkan oleh badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute berkenaan.