Guna teknologi dalam pertanian, tarik minat belia jamin keselamatan makanan – Exco

whatsapp image 2024 08 06 at 10.46.46

JAWI – Sektor pertanian bukan sahaja sektor alternatif yang menjana pendapatan negeri malah ia memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan dan keselamatan makanan.

 

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, penggunaan teknologi dalam sektor pertanian seperti pertanian pintar (smart farming) misalnya, dilihat mampu meningkatkan hasil dan lebih efisien.

 

“Penggunaan teknologi yang moden dan canggih ditambah dengan ilmu pertanian yang luas dapat mewujudkan ekosistem agroteknologi yang mampan.

 

“Malah, ia (penggunaan teknologi dalam sektor pertanian) juga dapat menarik dan memupuk minat belia untuk menceburi bidang pertanian dalam memastikan kelangsungan keselamatan makanan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Black Soldier Fly (BSF) Smart Farm di Kampung Valdor dekat sini pada 3 Ogos 2024.

whatsapp image 2024 08 06 at 12.09.33
FAHMI ZAINOL (kiri) melihat baja yang dihasilkan pada sesi lawatan usai majlis berkaitan di sini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan; wakil dari Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang; Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang; Universiti Tunku Abdul Rahman dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).

 

Turut serta ahli Kelab Apex George Town dan JCI Bukit Mertajam.

 

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak memuji kumpulan belia dari Bukit Mertajam yang memulakan inisiatif pertanian pintar bagi penternakan larva BSF di sini.

 

“Mereka ini telah memperkenalkan BSF Smart Farm dan merevolusikan penyelesaian dalam pertanian dan penternakan, amat menakjubkan.

 

“Inisiatif ini juga bukan sahaja membantu dalam penghasilan baja organik untuk tujuan pertanian tetapi  juga ‘menguruskan’ sisa organik.

 

“Tahniah kepada mereka dan harapan saya agar mereka dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menarik lebih ramai belia mengambil bahagian dalam bidang pertanian pintar seumpama ini untuk memenuhi keperluan rantaian keselamatan makanan,” katanya.

 

Difahamkan, BSF Farm merupakan hasil revolusi Miraico (M) Sdn. Bhd. melalui Projek Future yang bertujuan memanfaatkan penggunaan teknologi pintar seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) dan analisis data raya dalam pertanian.

 

Projek serampang dua mata ini juga diharap dapat meningkatkan kelestarian alam sekitar di samping memberi inspirasi kepada golongan belia untuk meremajakan kembali sektor pertanian seperti moto yang dibawa oleh Miraico – “Making Agriculture Sexy Again”.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : EXCO & JCI BUKIT MERTAJAM