Gunung ‘arang’ kepada sebuah taman sakura

KEADAAN sebelum dan selepas kerja-kerja penambahbaikan.

 

ASALNYA sebuah lombong arang batu terbiar dan tapak pelupusan sampah, kini lokasi yang tandus dan penuh berbatu-bata ini telah bertukar menjadi sebuah taman pergunungan yang begitu mempesonakan.

USAHA penanaman masih berjalan.
Taman Pergunungan Pinggir Bandar Yuquan yang terletak di Bandar Taiyuan, Shanxi, China begitu mengagumkan penulis. Ditambah pula apabila berpeluang bertemu dengan Pengarah Urusan Shanxi Jinfeng Heating Co. Ltd., Zhang Junping yang mengambil inisiatif membaik pulih lokasi berkaitan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya.

BUNGA sakura menjadi tarikan utama.
SUASANA pemandangan di Taman Pergunungan Pinggir Bandar Yuquan kini.

Seorang yang agak pemalu dan tidak pandai berkata-kata, namun, usaha beliau membaik pulih semula kawasan berkaitan untuk dijadikan sebuah pusat rekreasi awam adalah perlu dicontohi.

PARA pekerja menarah permukaan lereng yang berbatu bagi tujuan penanaman.

Junping menyatakan bahawa misinya adalah bermula pada tahun 2009.

“Daripada keseluruhan kawasan seluas 13 kilometer persegi, kira-kira 200 tapak perlombongan arang batu dan tujuh lokasi pembuangan sampah dikenal pasti ketika kami mula-mula menjejakkan kaki di sini.

“Bukan mudah, usaha keras diperlukan terutamanya dalam mengenal pasti kaedah untuk menanam pokok serta pemasangan sistem pengairan bagi memastikan tumbuh-tumbuhan hidup di tapak ini,’’ katanya kepada wakil Buletin Mutiara yang mengadakan kunjungan ke Taman Pergunungan Pinggir Bandar Yuquan baru-baru ini.

SISTEM pengairan penting bagi memastikan tumbuh-tumbuhan yang ditanam hidup.

Menurut Junping, pada tahun 2009, beliau mempertaruhkan sejumlah pelaburan dan mengupah buruh kasar tempatan serta dari Sichuan untuk menebus guna, menarah batu-bata, membersihkan sampah-sarap dan lain-lain kerja kasar di kawasan ini.

“Pada tahun 2009, ketika menjejakkan kaki di bukit ini, kami seolah ‘menggeletar’… kelihatan sebidang tanah tandus luas, tiada air, tiada elektrik, tiada jalan, penempatan… ia adalah suatu misi yang mustahil. Apatah lagi, hampir keseluruhan 80 peratus daripada ia adalah berbatu.

“Bagaimanapun, kami bertekad merealisasikannya. Peruntukan digunakan sepenuhnya untuk ‘menghidupkan’ kawasan pergunungan ini.

“Malah, dalam tempoh 10 tahun ini, kakitangan yang bekerja masih perlu menetap di dalam khemah kerana tumpuan adalah terhadap usaha pemuliharaan… semuanya berkerja dengan amat keras dan berkorban demi ia,’’ ujarnya.

Mengulas lanjut, kata Junping, dalam tempoh proses pembaikpulihan tersebut, tiga penekanan utama diberikan terutamanya menambahbaik permukaan iaitu menerusi pemasangan anak-anak tangga kayu dan menggali lubang bagi tujuan penanaman pokok. Sehingga kini, kira-kira 6 juta lubang telah digali.

“Ia kemudian disusuli dengan proses pemasangan paip bagi tujuan pengairan sebelum membawa bungkusan beg-beg tanah untuk diisi di dalam lubang-lubang yang digali.

“Selesainya proses berkaitan, sepohon demi sepohon pokok dipunggah naik untuk ditanam, dan jumlah catatan kini adalah sebanyak 5.3 juta pokok.

“Apa yang menyedihkan dalam proses awalan adalah kebanyakan pokok-pokok berkaitan tidak dapat tumbuh dan mati selain sering terdedah dengan kejadian kebakaran.

“Justeru, kami terpaksa mencari serta mengenal pasti alternatif lain terutamanya dalam usaha pemindahan serta sistem pengairan,’’ jelasnya.

Tanpa berputus asa, Junping meneruskan usaha termasuk empat kali memperbaiki sistem pengairan sedia ada sebelum meneruskan pembinaan jalan raya sepanjang 105 kilometer – yang kini memberi akses kepada umum untuk meneroka taman pergunungan berkaitan.

Kini, setelah selesai dua fasa pertama, Taman Pergunungan Pinggir Bandar Yuquan mula dibuka untuk umum pada tahun 2014.

Kawasan berkenaan kini ditumbuhi dengan 200,000 pokok ceri, pokok plum (500,000) dan buluh hijau (1 juta) selain sakura yang menjadi tarikan utama.

Perjalanan selama 20 minit dari kaki bukit ke puncak begitu mempersonakan dengan kuntuman bunga-bunga sakura, ceri dan plum berwarna keputihan, merah jambu, ungu dan hijau yang mekar berkembang terutamanya pada bulan April.

Malah, dalam tempoh setahun, dicatatkan seramai 1 juta pengunjung mengunjungi lokasi berkaitan.

Bagi Junping, walaupun banyak pihak serta rakan-rakan yang tidak bersetuju dengan tindakan serta inisiatifnya, namun beliau yakin bahawa sekiranya diri tidak dapat merealisasikan impian berkaitan, ia akan diteruskan oleh anak ataupun cucunya.

LUBANG-lubang di lereng digali sebelum memasukkan anak-anak pokok.

“Saya percaya ia akan berjaya. Kita hanya perlu bertahan dan tidak mudah putus asa.

“Taman ini dijangka disempurnakan dalam tempoh lima tahun akan datang. Walaupun saya masih belum meraih sebarang keuntungan, saya tidak pernah menyesali keputusan diambil ini.

“Setiap pokok adalah seperti ‘anak’ saya, melihat mereka membesar adalah sesuatu perkara yang paling indah di dunia ini,’’ katanya mengakhiri sesi temubual berkaitan.

Pendapat penulis, ia adalah tidak mustahil untuk dilaksanakan di Pulau Pinang, malah ia cuma menunggu tempoh masa sesuai.

Sekiranya ia dilaksanakan, Pulau Pinang pastinya mendahului dalam inisiatif ini.

 

Oleh : YAP LEE YING
Gambar : LAW SUUN TING & SHANXI JINFENG HEATING CO. LTD.