‘Gurauan serius’ maka kita dengar dengan serius juga – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa apa-apa isu dan tuntutan yang mahu dikemukakan oleh Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) harus dibawa ke mahkamah.

 

 

Kata beliau, ‘gurauan serius’ terbaharu mengenai Pulau Pinang milik Kedah bukanlah isu baharu, dan pihaknya mengambil pendekatan mendengar secara serius.

 

 

“Menteri Besar Kedah menyatakan bahawa beliau buat ‘gurauan serius’ bahawa negeri Pulau Pinang adalah milikan Kedah, satu gurauan yang bukan baru, tetapi ‘gurauan serius’, maka kita dengar dengan serius jugalah.

 

“(Dan) (Muhammad) Sanusi boleh terus bergurau, seperti isu-isu sebelum ini kita kata, jumpa di mahkamah, walau apa-apa tuntutan termasuk bayaran air, tuntutan Pulau Pinang termasuk Seberang Perai, tetapi sehingga kini, (Muhammad) Sanusi cuma bergurau sahaja dan tidak pernah ambil apa-apa tindakan,” ujarnya dalam sidang media di sini sebentar tadi.

 

 

Turut hadir, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen.

 

 

Ditanya mengenai nasihat kepada Muhammad Sanusi, Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya ‘tidak berani’ memberi nasihat kerana jawatannya sebagai Menteri Besar.

 

“Saya tidak berani nak nasihat dia, kalau nak nasihat mungkin rakyat atau pengundi dia boleh beri nasihat,” ujarnya yang yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS