Gurney Wharf, ‘hadiah’ KN untuk rakyat P. Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Projek ikonik persiaran pantai dikenali Gurney Wharf bakal menjadi tarikan baru sektor pelancongan bukan sahaja di negeri Pulau Pinang, malah dalam negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkan perkara tersebut baru-baru ini berkata, Gurney Wharf adalah ‘hadiah’ daripada Kerajaan Negeri untuk rakyat Pulau Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri) percaya, setiap bandar raya terkemuka di dunia perlu ada sebuah ‘waterfront promenade’ atau sesiaran tepi pantai yang bertaraf antarabangsa dan Pulau Pinang tidak terkecuali.

“Mengambil inspirasi dari beberapa dermaga (wharf) pesisir pantai terkenal di dunia seperti Fisherman’s Wharf di San Francisco, Amerika Syarikat; Canary Wharf (London, United Kingdom) dan King Street Wharf (Sydney, Australia), kita (Kerajaan Negeri) yakin ia akan menjadi destinasi tumpuan awam yang bukan sahaja mesra rakyat, tetapi juga mesra alam sekitar,” katanya selepas hadir ke Pameran Awam Projek Gurney Wharf di Plaza Gurney di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Mohd. Anuar Maidin.

Guan Eng dalam pada itu memberitahu, dalam melaksanakan projek berkaitan, Kerajaan Negeri telah menjangka dan mengambil maklum beberapa isu berkaitan alam sekitar serta trafik.

“Kita (Kerajaan Negeri) memberi jaminan bahawa isu alam sekitar akan menjadi keutamaan sekaligus mengembalikan semula imej Persiaran Gurney sebagai kawasan riadah persisir pantai tumpuan di negeri ini.

“Bagi mengatasi masalah lalulintas pula, Kerajaan Negeri akan membina lebuhraya lapan lorong yang bukan sahaja selamat untuk pemanduan, malah juga untuk pejalan kaki dan mereka yang berbasikal,” jelasnya yang berpuas hati dengan maklum balas positif yang diterima sejak pengumuman projek berkaitan pada 23 Februari lalu termasuk di sini (Plaza Gurney).

Dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020, projek Gurney Wharf merangkumi empat kawasan ‘berperwatakan’ iaitu medan makan dan minuman persisir pantai, taman air diinspirasikan dari Gardens by the Bay, Singapura, persisir pantai sejauh 1.5 kilometer dan kawasan teduhan yang dilengkapi dengan pokok teduhan dan kawasan riadah.